PKR mempersoalkan kontrak untuk mengendalikan kafeteria di institut pengajian tinggi milik parti berkenaan yang didakwa diberikan kepada ketua Pemuda MIC Pulau Pinang, J Dhinagaran.

Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Kebangsaan PKR, S Gobi Krishnan mendakwa tender berkenaan membolehkan syarikat yang menjalankan kafeteria tersebut mencatat keuntungan lebih RM20 juta.

Beliau mendakwa kontrak untuk mengendalikan kafeteria berkenaan diberikan tanpa tender terbuka kepada syarikat Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd, tidak berapa lama selepas Dhinagaran dilantik ke syarikat berkenaan.

Gobi turut mendedahkan dokumen yang mendakwa, syarikat tersebut mencatat keuntungan sehingga RM20,452,720 – jumlah yang didakwa patut diperolehi terus oleh institut terbabit – Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST).


"Apakah asas melepaskan kontrak dalaman yang begitu lumayan dan menyumber-luarkannya kepada pemimpin Pemuda MIC tanpa tender terbuka?," soalnya.

Gobi juga mendakwa, syarikat berkenaan membuat tuntutan bayaran berlebihan daripada MIC sebanyak RM 498,185 bagi tahun 2007 dan 2008  untuk perkhidmatan katering yang disediakan kafeteria itu.

Beliau mendakwa, syarikat berkenaan menuntut bayaran lebih daripada jumlah penuntut sebenar di universiti AIMST.

"Apakah tindakan yang diambil AIMST University untuk mendapatkan semula jumlah ini dan memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang?," soalnya.

Beliau juga mendakwa, AIMST Universiti kerugian sebanyak RM867,609 bagi tahun 2007 sehingga 2009 kerana kadar kutipan sewa yang rendah daripada sepatutnya.

Beliau mendakwa, AIMST mengutip sewa untuk ruang sebanyak 1,224 kaki persegi sahaja sedangkan ruang sebenar disewa adalah 8,652 kaki persegi.

"Apakah jawapan daripada MIC berhubung perkara ini?," soalnya.