Selasa, 10 Julai 2012

Peniaga dan pekerja tolak penswastaan pelabuhan Pulau Pinang

 
 
KUALA LUMPUR, — Sekumpulan pengilang dan pekerja pelabuhan menolak cadangan Putrajaya untuk menswastakan Pelabuhan Pulau Pinang dan ini boleh menimbulkan masalah untuk rancangan pengambilalihan pelabuhan tersebut oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Kedua-dua Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri telah menyatakan bantahan mereka terhadap rancangan kementerian kewangan untuk menjual pelabuhan tersebut kepada syarikat milik Syed Mokhtar, “Seaport Terminal” — juga menguruskan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor dengan kebimbangan peranan Pulau Pinang sebagai hub perkapalan utara menjadi lebih kecil.
Pelabuhan Pulau Pinang: Bantahan terhadap rancangan kementerian kewangan untuk menjual pelabuhan. — Foto Internet
Terdapat juga ketakutan dari ahli politik BN tempatan — tindakan kerajaan menjual pelabuhan ini akan menyebabkan peluang mereka untuk merampas kembali negeri tersebut dari PR musnah dalam pilihan raya umum (PRU) yang akan diadakan selewat-lewatnya pada April 2013.
 “Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada orang luar ditolak kerana ianya dilakukan tanpa melalui perbincangan dengan rakyat Pulau Pinang,” resolusi pertama yang dipersetujui oleh 42 wakil kumpulan dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Kenyataan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang itu menyatakan Melayu, India, Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pengilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Freepenca (Persatuan Syarikat bagi Kawasan Perindustrian Bebas, Pulau Pinang), pembekal logistik, pengimpot dan pengekspot, syarikat perkapalan dan agen, termasuk pekerja pelabuhan telah menolak rancangan penswastaan yang mereka rasakan akan mengurangkan peranan pelabuhan yang telah berusia 220 tahun itu.

Penolakan rancangan penswastaan adalah satu daripada lima resolusi yang diterima selepas pelbagai kelompok bertemu dengan pentadbir negeri sewaktu perbincangan meja bulat diadakan.

Resolusi lain termasuklah menuntut agar saluran pelabuhan didalamkan segera untuk menampung kapal yang lebih besar, menolak segala cadangan untuk ‘menurunkan pangkat’ pelabuhan kepada lebih rendah, rombakan semula pekhidmatan feri Pulau Pinang dan pelabuhan harus diserahkan semula kepada kerajaan negeri.

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menolak sekeras-kerasnya cadangan penswataan tersebut dengan mendakwa Seaport Terminal tidak akan menyalurkan sumber-sumber ke Pelabuhan Pulau Pinang oleh kerana fokus utama mereka adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor. 
 
Katanya lagi, Pelabuhan Pulau Pinang berkait rapat dengan identiti ekonomi negeri.
Teng Chang Yeow
Pengrusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, mendesak kerajaan pusat untuk menilai semula keputusan untuk menswastakan pelabuhan pulau itu dengan alasan banyak industri menentang cadangan itu dan ini bertentangan dengan aspirasi penduduk negeri tersebut.
 Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek — juga ketua Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang — bagaimanapun berkata sebarang usaha menentang dari kerajaan negeri adalah langkah sabotaj diri oleh kerana penswastaan bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan.

“Penswataan tidak bertujuan untuk sabotaj tetapi untuk meningkatkan kecekapan pelabuhan tersebut,” kata Chua. “Mereka boleh cuba menentang kerajaan pusat atau melambat-lambatkan proses penswastaan tersebut kerana ini adalah tindakan mensabotaj negeri sendiri.”

Masih belum pasti apakah penentangan politik dan industri mampu membatalkan penswataan pelabuhan yang telah disahkan oleh Kementerian Pengangkutan bulan lepas, lebih-lebih lagi rekod Syed Mokhtar menunjukkan beliau boleh mendapatkan apa saja.

Pengusaha yang tidak mesra media ini — beberapa tahun kebelakangan ini membina empayar dengan menghimpunkan aset-aset strategik merangkumi pengagihan beras dan gas, loji janakuasa, pelabuhan dan pengeluar kereta nasional, Proton.

Empayar logistik Syed Mokhtar termasuklah Pos Malaysia, dua pelabuhan di Johor, lapangan terbang, perusahaan utamanya MMC yang dilaporkan sedang membuat penilaian untuk mengambil alih perusahaan keretapi nasional, Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad. MMC juga adalah sebahagian daripada usahasama untuk  membangunkan projek insfrastruktur terbesar, MRT di Lembah Klang.

Rancangan pengambillihan pelbagai aset strategik berkos tinggi - ahli parlimen Petaling Jaya Utara (PJU), Tony Pua menganggarkan bahawa syarikat Syed Mokhtar mempunyai hutang gabungan sebanyak RM34.3 bilion atau lebih daripada 10 peratus semua bon korporat tempatan pada tahun 2011.

Penganalisis berkata, pengambilalihan Pelabuhan Pulau Pinang oleh Syed Mokhtar bakal menyaksikan potensi pelabuhan tersebut dirangkumkan sekaligus dengan Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai sebuah entiti korporat baru dan akan disenaraikan di bursa saham.

Status “perdana” Pelabuhan Pulau Pinang merosot semenjak status pelabuhan bebas telah diambil dalam tahun 1974.

Sebaliknya, pendatang baru Pelabuhan Tanjung Pelepas yang mula beroperasi pada tahun 1999 kini telah mengendalikan lebih daripada enam juta TEU tahun, lima kali ganda daripada Pelabuhan Pulau Pinang.

Jumlah kargo Pulau Pinang juga meningkat hanya 5.8 peratus setahun diantara 1995 dan 2009 berbanding dengan Pelabuhan Klang yang berkembang 14.2 peratus setahun.

Pentadbiran negeri yang dikuasai PR mendakwa bahawa pemilikan kerajaan persekutuan sebagai pengendali pelabuhan telah memburukkan kedudukan kewangan dengan hutang bersih meningkat daripada RM148 juta pada tahun 2004 kepada RM832 juta pada 2009 — peningkatan 462 peratus dalam tempoh lima tahun.

Tiada ulasan: