Jumaat, 6 Julai 2012

Penduduk Kecewa Aduan Tidak Dipedulikan JKR





AMPANG  : Penduduk Taman Kencana kecewa aduan mengenai kerosakan lampu jalan di Jalan Bunga Raya, di sini sejak tiga bulan lalu tidak diambil peduli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Seorang penduduk, Osman Ali, 65 berkata, ketiadaan lampu jalan menyebabkan kawasan rumahnya tidak selamat dan menjadi sasaran pencuri.

“Kereta anak saya dicuri di hadapan rumah ini dan keadaan kawasan ini yang gelap

pada waktu malam kerana lampu jalan di jalan utama rosak,” katanya.

Sementara itu, ketiadaan lampu jalan di satu selekoh tajam di persimpangan laluan ini ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) mengundang bahaya kepada pengguna pada waktu malam.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Supiramany Sinnapayal berkata, beliau sudah mengajukan masalah ini kepada JKR tetapi pelbagai alasan diberikan.

“JKR memberitahu kelewatan ini disebabkan tiada alat mencukupi bagi memperbaiki lampu jalan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, JKR seharusnya bertanggungjawab dengan menyediakan lampu jalan sementara sehingga lampu jalan ini diperbaiki memandangkan jalan ini dibawah pengurusan JKR sendiri,” katanya lagi.

Adun Teratai, Jenice Lee pula mendakwa JKR lepas tangan dan bersikap sambil lewa kerana perkara ini boleh dibincangkan bersama MPAJ.

“MPAJ menawarkan diri untuk membantu dalam masalah ini tetapi tiada tindakan selanjutnya diambil oleh JKR,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor.



Seorang lagi penduduk, Asiah Jusoh, 58, berkata, jalan ini turut menjadi laluan pelumba haram pada setiap hujung minggu.

Selain itu, dalam isu berlainan, Jenice berkata, jalan ini yang baru diturap oleh JKR dua minggu lalu tidak memenuhi spesifikasi kerana terlalu nipis.

“Spesifikasi yang ditetapkan adalah 40 milimeter(mm) tetapi kenapa JKR hanya menurap kira-kira 20mm sahaja?” soalnya.

Tiada ulasan: