Selasa, 3 Julai 2012

PBT Disaran Teroka Teknologi Baru Urus Sisa Pepejal






SUBANG JAYA : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengambil inisiatif meneroka teknologi baru dalam pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif, mampan dan mesra alam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, PBT boleh belajar pengurusan sisa pepejal daripada negara luar seperti Australia dan German.

Negara itu melaksanakan pengurusan yang lebih efektif dalam menangani masalah sampah melalui pendekatan penggunaan teknologi dan jentera yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal.

Jelas beliau tahap kebersihan di negeri ini antara yang terbaik seraya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani isu kebersihan.

Namun usaha untuk menambahbaik tahap kebersihan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Kerajaan Negeri juga akan menggunakan teknologi baru dalam pengurusan tapak sisa pepejal yang mesra alam dan pada kos yang munasabah.

“Kini di Selangor sudah mempunyai kira-kira 100 buah lori kompaktor dan Kerajaan Negeri yang boleh disewakan pada kadar RM6,500 sebulan yang dikira rendah berbanding sewaan daripada pihak swasta,” jelas Ronnie semasa Majlis Dialog Bajet 2013 berkenaan Pendekatan Baru Pengurusan Sisa Pepejal : Kajian Kes Di Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini.

Majlis Dialog itu bertujuan mengumpulkan pandangan pelbagai pihak dalam memberikan input dan cadangan yang akan dilaksanakan dalam Bajet 2013 Selangor dalam penambahbaikan pengurusan sisa pepejal di negeri ini.

Tambah Ronnie, pembinaan Loji Insinerator yang dicadangkan Kerajaan Pusat sebelum ini tidak sesuai dibangunkan di negara ini kerana kosnya terlalu tinggi serta menghasilkan pencemaran udara yang boleh memudaratkan masyarakat setempat.

Beliau merujuk kepada cadangan Kerajaan Pusat sebelum ini yang berhasrat membina Loji Insinerator di Bukit Broga yang mencecah kos RM1.5 bilion yang mendapat bantahan pelbagai pihak ekoran kos yang terlalu tinggi, jangka hayat loji yang rendah serta boleh menjejaskan kesihatan kepada masyarakat setempat.

“PBT juga perlu menghargai pekerja kontraktor pengurusan sampah dengan menjalinkan kerjasama erat dengan mereka dengan mengadakan pertemuan secara berkala untuk mengukuhkan semangat bekerjasama satu pasukan,” kata Ronnie.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Datuk Roslan Sakiman berkata,masyarakat perlu menukar paradigma pemikiran berkenaan kaedah pembuangan sampah melalui sistem pengasingan sampah yang boleh dikitar semula pada sesuatu masa.

Beliau menjelaskan bagaimana di Jepun, sistem pengumpulan sampah yang telah diasingkan mengikut kategori tertentu untuk tujuan kitar semula yang boleh dipraktikkan untuk kawasan perumahan baru nanti.

Kira-kira 50 orang hadir yang mewakili pelbagai agensi kerajaan, anak syarikat Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan dalam sesi dialog itu.

Tiada ulasan: