Isnin, 30 Julai 2012

Pakatan Rakyat rancang naik taraf sistem pengangkutan awam

Oleh Sidiqin Omar

 KUALA LUMPUR : Satu pembentangan khusus akan dibuat Pakatan Rakyat sebagai penyelesaian konklusif berhubung sistem pengangkutan awam di seluruh negara.


 
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, dalam masa Pakatan Rakyat menawarkan pelupusan duti eksais ke atas kereta, usaha peningkatan kualiti sistem pengangkutan awam turut diberi perhatian serius.

“Ia memakan belanja besar dan mengambil tempoh panjang untuk dilaksana iaitu empat hingga lima tahun. Kerajaan sebelum ini menggunakan alasan menaikkan harga minyak, dan wang itu akan digunakan bagi menaiktaraf sistem pengangkutan awam.

“Tapi kita tak nampak apa-apa, malahan keadaan makin teruk,” kata Rafizi sambil menambah, antara cadangan menaiktaraf pengangkutan awam termasuk rangkaian bas awam yang lebih kerap dan kemas.

“(Malangnya) Kerajaan belanjakan sehingga RM100 bilion untuk membina MRT (Mass Rapid Transit) yang hanya akan siap pada 2017 atau 2018,” katanya kepada Keadilan Daily.

Tambah beliau, struktur pelupusan duti eksais ke atas kereta memberi manfaat besar kepada penduduk di luar Lembah Klang berikutan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur sangat kritikal.

“Di Sabah dan Sarawak misalnya, (sistem pengangkutan awam) lebih teruk. Mereka terpaksa guna 4WD (kenderaan pacuan empat roda). Pendekatan ini (pelupusan duti eksais kereta) tak menggangu struktur asas pengangkutan awam.

Jelas Rafizi, melalui skim baru tersebut, secara automatik rakyat Malaysia yang membayar ansuran bulanan kereta dapat menjimatkan wang berjumlah RM400 hingga RM500 setiap bulan.

“53 peratus isi rumah di Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Mereka belanjakan separuh pendapatan bulanan mereka hanya untuk membayar ansuran kereta.

“Sementara mencari penyelesaian pengangkutan awam, dalam masa sama kita kena selesaikan disposable income (pendapatan boleh guna),” kata Rafizi.

Tiada ulasan: