Isnin, 2 Julai 2012

Noh cabar MB dedah kewangan Unisel

SINAR HARIAN

Noh cabar MB dedah kewangan Unisel
Datuk Seri Noh Omar 
 
 
SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mencabar dan memberi tempoh seminggu kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendedahkan kedudukan kewangan terperinci Universiti Selangor (Unisel).
  
Beliau berkata pendedahan laporan terperinci mengenai kedudukan kewangan universiti milik kerajaan negeri itu termasuk jumlah tunai dan hutang terkini, perlu dilakukan bagi menangkis dakwaan bahawa Unisel sedang menanggung kerugian.
  
"Saya mempunyai laporan akaun terkini Unisel dan menunjukkan ia berada dalam keadaan nazak dan saya tidak akan cakap kalau saya tidak ada bukti," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
  
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata sejak parti pakatan pembangkang mengambil alih, Unisel menghadapi pelbagai isu termasuk pertukaran Naib Canselor dan peletakan jawatan beberapa individu dan digantikan dengan pemimpin pembangkang daripada Pas dan PKR.

Beliau berkata kerajaan Selangor meletakkan tiga wakil politik dalam pentadbiran Unisel iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Hussin, Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat sebagai anggota Lembaga Pengarah universiti itu.
 
"Jika zaman BN mentadbir dahulu kita hanya letakkan seorang sahaja wakil kerajaan negeri iaitu Exco Pendidikan, tetapi mereka jelas meletakkan orang politik yang mempengaruhi sebarang tindakan dan keputusan universiti itu," katanya.
  
Noh turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri melantik tiga Timbalan Naib Canselor dengan gred gaji Jusa B berbanding seorang sahaja semasa di bawah BN dan mewujudkan jawatan Pendaftar Kanan dengan gred gaji yang sama dalam pentadbiran Unisel.
  
Noh turut mendesak Abdul Khalid menunaikan janji untuk mendedahkan maklumat pemberian kontrak secara rundingan terus di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

"Saya desak mereka dedahkan secepat mungkin, atau mereka boleh dedahkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan pada 9 Julai ini. Jika mereka gagal melakukannya saya akan bantu mereka dedahkan," katanya. - Bernama

1 ulasan:

XUMNO berkata...

Ini sorang menteri bengap yang mimpi nak jadi MB Selangor.Kementerian pertanian yang diketuainya pun lintang pukang, ada hati nak soal tentang Unisel. Hei, bahlol. Dah lupa ke peranan awak dalam penarikan pinjaman PTPTN kepada pelajar2 Unisel baru2 ni???