MALAYSIA KINI
Satu
gabungan NGO menuntut kerajaan mengambil tindakan ke atas satu buku
komik didakwa bersifat "rasis dan xenophobik" yang dilaporkan diedarkan
di satu majlis anjuran kerajaan.Gabungan NGO yang mempromosi kempen Meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu mahu pengedarannya disekat dan penerbit buku komik itu dikenakan tindakan.
Lapan NGO yang menganggotai jawatankuasa kerja itu termasu jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Saya Anak Bangsa Malaysia dan Institute of Ethnic Studies.
Mereka menyifatkan buku tersebut sebagai satu penerbitan yang memalukan Malaysia.
"Sikap xenophobia atau ketakutan atau kebencian yang tidak munasabah ke atas warga asing ini jelas memalukan negara dan rakyat pelbagai kaum kita," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.
The Malay Mail dalam laporannya semalam menyebut, buku ‘M1 Malaysia - Majalah Untuk Rakyat' itu diedarkan di program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) pada 24 Jun yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Satu komik bertajuk ‘1Malaysia vs 1Pati' dalam buku itu antara lainnya memaparkan seorang kanak-kanak menghayati masyarakat berbilang kaum Malaysia dan seterusnya memaparkan satu kumpulan masyarakat berkulit hitam.
"Ha... Nik bukan 1Malaysia tapi 1Pati nak jahanamkan negara. Jauhkan diri anda dari Awang Arang ni," dialog komik tersebut dipetik.
"Pati" merupakan akronim bagi pendatang asing tanpa izin.
The Malay Mail juga melaporkan bahawa penganjur program tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri tidak menyedari mengenai penerbitan tersebut.
Setiausaha bahagian KDN itu Abd Aziz Md Nor dipetik sebagai berkata, kementerian itu akan mendapatkan penjelasan penerbit, Blue Pipe Studio Enterprise dan mengharamkan penerbitan berkenaan sekiranya perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan