Sabtu, 28 Julai 2012

NGO buat laporan polis penjualan buku agama pesong akidah

SINAR HARIAN

JOHOR BAHRU - Persatuan Pemuda Puteri Melayu Bersatu (PERIMAU) membuat laporan polis hari ini berhubung kegiatan penjualan buku agama kepada murid sekolah yang dikhuatiri boleh memesongkan akidah.

Presidennya Mohd Ridhwan Othman berkata laporan dibuat pukul 3 petang di Balai Polis Bandar Datuk Onn di sini bagi membolehkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiasat kandungan buku itu.

"Buku agama itu dikesan dijual di luar perkarangan sekolah rendah di sekitar bandar raya ini sejak dua minggu lepas. Buku itu dipercayai terdapat sehingga 20 jilid termasuk himpunan doa harian, tafsir mimpi, kisah malaikat dan kisah alam kubur berharga RM2 setiap satu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Ridhwan berkata buku yang diterbitkan sebuah syarikat di Selangor itu didakwa mengandungi unsur yang boleh memesongkan akidah termasuk ilustrasi dan terjemahan ayat Al-Quran berbeza daripada terjemahan asal.

Beliau berkata aduan daripada ibu bapa mendapati pihak tidak bertanggungjawab itu menjual buku berkenaan di luar sekolah.

"PERIMAU memandang serius perkara ini dan kita mahu pihak berkuasa menyiasat mengenainya kerana tidak mahu minda kanak-kanak terpengaruh sehingga membolehkan akidah mereka terpesong," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: