Jumaat, 6 Julai 2012

Najib bidas pembangkang suka ajar rakyat perkara tidak baik

SINAR  HARIAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
 
 
PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak pembangkang di negara ini dilihat suka mengajar perkara-perkara yang tidak baik kepada rakyat termasuk perkara yang bertentangan dengan agama.

Beliau berkata tiga perkara tidak baik yang begitu nyata diajarkan kepada rakyat ialah "hutang tak perlu dibayar", "budi tak perlu dikenang" dan "janji tak perlu ditepati".

"Janji banyak dibuat (pembangkang) semasa pilihan raya (umum) lepas, tapi akhirnya (selepas mereka berkuasa di beberapa negeri) mereka tidak tepati pun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan pakaian Hari Raya kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta penyerahan sumbangan 52 enjin bot untuk nelayan bagi kawasan Parlimen Pekan, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pula bukan sahaja menepati semua janji yang dibuat, malah "perkara-perkara" yang tidak dijanjikan sebelum ini seperti pelbagai jenis bantuan untuk rakyat, turut diberikan.

Berkenaan hutang yang tidak perlu dibayar, Najib berkata dalam ajaran Islam, setiap hutang wajib dibayar dan sekiranya sseorang itu sudah meninggal dunia, hutang berkenaan masih perlu dibayar oleh warisnya.

Perihal hutang itu yang dimaksudkan Perdana Menteri dipercayai merujuk kepada cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Perdana Menteri berkata pihak pembangkang juga kini meracuni pemikiran rakyat agar tidak menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Ajaran mereka ialah budi tak perlu dikenang. Berkenaan dengan bantuan untuk rakyat, saya tak tahulah kalau ada negara lain sehingga bantuan kelambu pun diberikan, bantuan gigi palsu, cermin mata, kalau jalan tar, bukan setakat kerajaan buat jalan tapi buat jalan sampai ke tangga rumah," katanya.

Najib berkata apa yang dikecapi sekarang bukanlah sesuatu yang mudah sekiranya kepimpinan negara tidak mempunyai kewibawaan dan wawasan.

"Kalau kita tidak punyai kewibawaan, wawasan dan buat perancangan dan mampu melaksanakannya, ianya (keadaan rakyat dan negara) akan digantikan dengan satu igauan buruk," katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dengan nikmat keamanan dan perpaduan yang dikecapi.

"Janganlah kita silap membuat perhitungan. Jika kita silap, nikmat itu akan terlepas dari kita, sudah banyak kita lihat apa yang telah terjadi kepada rakyat di negara-negara lain akibat berlakunya ketidakstabilan politik," katanya.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.  - Bernama

Tiada ulasan: