Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Naib Pengerusi KEADILAN Sarawak, Peter Ato Mayau, 53, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas helikopter milik Sebiro Holdings di Sungai Triso, Sri Aman Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How berkata, mendiang yang juga jurutera maut ketika dalam perjalanan ke Nanga Merit, Kapit atas tuntutan tugas dan mayat beliau bersama dua lagi ditemui Ahad kira-kira jam 2.00 petang.
“Kita kehilangan seorang pemimpin berjiwa rakyat, kurang bercakap tetapi kerja aktif dan konsisten membantu rakyat,” kata Chee How yang kali terakhir bersama mendiang dalam sebuah program di Parlimen Mambong seminggu sebelum kejadian.
Menurut Chee How, mendiang adalah calon berpotensi untuk menang dan sudah disahkan mewakili KEADILAN bagi Parlimen Mambong pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau pernah bertanding sebagai calon KEADILAN pada Pilihan Raya Negeri 2011 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, namun tewas kepada calon BN dalam saingan tiga penjuru.
Chee How menyifatkan mendiang sebagai seorang yang mempunyai sentuhan peribadi istimewa dan sangat rajin. Malah bapa kepada tiga anak itu sudahpun turun padang dalam Parlimen Mambong sejak Oktober tahun lalu.
“Ato Mayau seorang yang tahan lasak dan mempunyai tahap kesihatan baik. Mendiang juga merupakan pemimpin mudah mesra dan sangat disenangi ramai.
“Walaupun beliau berketurunan Bidayuh, namun salasilah keluarga sangat unik dan beliau memiliki darah campuran Melayu, Cina dan Bidayuh,” katanya yang masih bersedih dengan kehilangan mendiang.
Mayat Ato Mayau kini berada di Kuching dan dijangka dikebumikan esok.
Sementara itu, Bernama melaporkan, semua yang meninggal dunia itu menaiki helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang menyaksikan juruterbang berbangsa Jerman, Rico Steger, 35, selamat bersama Adun Pelagus, George Lagong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan