Rabu, 11 Julai 2012

Murshid gesa kerajaan bebas baki tahanan ISA

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

SHAH ALAM - Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) menggesa kerajaan membebaskan baki tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan segera menutup Kem Kemunting sebagai mengotakan janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri tahun lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Mushid berpendapat, kerajaan perlu membawa tahanan terbabit ke muka pengadilan bagi membicarakan kesalahan yang dilakukan mereka.

“Mereka juga perlu diberikan peluang untuk membela diri melalui mekanisme undang-undang yang dibenarkan.

“Kerajaan juga harus menubuhkan satu suruhanjaya kebenaran dan konsolidasi untuk menyiasat dan memberikan keadilan kepada pihak yang sepatutnya,” kata kenyataan itu.

Minggu lalu, gesaan yang sama turut disuarakan oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan tiga orang artis tanah air di dalam satu demonstrasi di hadapan kem terbabit.

Sementara itu, Murshid juga menggesa pegawai yang terlibat menyeksa tahanan berhenti menekan dan melayan tahanan secara kasar kerana tindakan mogok lapar mereka  itu sah di sisi hukum syarak sebagai jihad mempertahankan prinsip dan hak mereka yang dicabuli tanpa sebarang pembelaan.

Kembalikan hak semua tahanan sebagai manusia yang merdeka selari dengan artikel lima Perlembagaan Malaysia dan juga prinsip-prinsip keadilan Islam.

Menurut kenyataan itu lagi, media berperanan besar dalam usaha menegakkan kebenaran serta keadilan, justeru itu etika kewartawanan perlu diutamakan.

“Pihak ulama dan ilmuan agama, serta kesemua para Mufti berani tampil untuk menegakkan prinsip keadilan Islam serta memperjuangkan nasib mereka yang dizalimi di atas nama Islam dan kemanusiaan.

“Anda semua akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas ilmu yang anda miliki, apakah tuntutan ilmu tersebut telah dilaksanakan untuk membela golongan yang dizalimi dan menentang segala bentuk kezaliman,” jelas kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: