Rabu, 18 Julai 2012

Muhyiddin dakwa MCA 'tak faham' sentimen akar umbi

MALAYSIA KINI
 
 
 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat telah menyinggung perasaan pemimpin parti komponennya dengan menuduh MCA "tidak memahami" sentimen golongan Cina.

Muhyiddin dalam mesyuarat agung Umno bahagian Batu pada Ahad lalu didakwa telah menuduh parti komponen BN – khususnya MCA dan MIC – gagal memahami sentimen golongan Cina dan India.

Satu laporan Sin Chew Daily melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, pemimpin tempatan perlu memahami sentimen semua kaum untuk membolehkannya memenangi mana-mana kerusi.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau biasanya akan menerima taklimat berhubung sentimen akar umbi apabila beliau mengunjungi bahagian Umno.

Namun parti komponen nampaknya bermasalah untuk memberi taklimat itu, katanya dalam laporan tersebut.

Muhyiddin yang menyebut parti MCA secara khusus berkata, beliau tidak faham mengapa parti itu tidak boleh "membaca" sentimen masyarakat Cina.

“Adakah orang Cina begitu rumit? Tidak bolehkah sikap mereka difahami?," soalnya.

Muhyiddin juga berkata masyarakat Cina tidak akan menyatakan perasaan mereka dengan bebas apabila didekati BN, tetapi akan berbuat demikian melalui pihak ketiga.

Beliau memberi contoh kawasan yang diwakilinya di Pagoh, di mana bahagian Umno dan MIC berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi 1,744 pengundi India dalam masa sebulan.

Muhyiddin berharap MCA dan MIC akan mencontohi perkara itu.

Dalam satu kenyataan balas, timbalan presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mendakwa timbalan perdana menteri itu gagal memahami rakyat Malaysia secara keseluruhan.

"Beliau kata MIC dan MCA tidak memahami suara rakyat. Pada pendapat saya, timbalan perdana menteri mesti memahami suara semua rakyat dan bukan mendengar kepada orang Melayu?," katanya.

Liow berkata apa yang orang Cina mahu ialah dasar yang adil dan bukan berat sebelah.

Katanya, Muhyiddin tidak boleh hanya menjaga keperluan orang Melayu tetapi keperluan semua rakyat Malaysia.

Muhyiddin tidak akan membuat kenyataan seperti itu sekiranya beliau memahami perkara itu, kata Liow lagi seperti dipetik Oriental Daily.

Tiada ulasan: