Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, cadangan menubuhkan pusat perlindungan bayi adalah satu usaha yang baik dilakukan kerajaan bersama institusi perubatan tersebut.
Beliau turut berkata, kaedah sebegitu sewajarnya diteruskan bagi mengelakkan pembuangan bayi di tempat-tempat tidak sepatutnya tanpa sebarang usaha menyelamatmereka.
“Ok, itu cadangan yang bagus yang dibuat oleh kerajaan. Kaedah itu perlu ada. Kalau haiwan terbiar pun kita ada usaha selamatkan inikan pula bayi manusia, memang perlulah ada usaha untuk selamatkan mereka," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Abdul Rahman juga berkata, walaupun ibu bapa dibenarkan untuk meninggalkan bayi mereka di tempat jagaan yang disediakan hospital, namun tindakan oleh undang-undang juga perlu diambil sebagai langkah pengajaran keatas mereka dan masyarakat.
Semalam, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Harjeet Singh berkata pihaknya bercadang mewujudkan pusat perlindungan bayi atau 'baby hatch' di setiap hospital kerajaan di seluruh negara sebagai usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memerangi kes pembuangan bayi terutamanya kelahiran di luar nikah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, ibu bapa bayi itu mesti bertanggungjawab dan memberi nafkah kepada bayi mereka kerana perkara tersebut adalah salah satu daripada kewajipan sebagai umat Islam.
“Tindakan patut diberi juga kepada ibu bapa bayi itu, itu sebagai pengajaran dan pendidikan untuk mereka. Pihak hospital dan ibu bapa bayi luar nikah yang ditinggalkan di tempat jagaan bayi tersebut perlu mengikut prosedur dan mempunyai perjanjian supaya tidak berlaku sebarang masalah di kemudian hari," katanya.
Dalam pada itu, Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin berpendapat cadangan tersebut amat baik demi menyelamatkan bayi luar nikah tersebut.
Tahrir berkata, tanggungjawab menjaga bayi tersebut tidak boleh diberikan sepenuhnya kepada pihak hospital sahaja tapi perlu ada kerjasama daripada kedua-dua pihak termasuk ibu bapa bayi tersebut.
“Cantiklah, cadangan kementerian itu untuk menubuhkan pusat jagaan tersebut. Namun mesti ada kerjasama kedua-dua pihak yang terlibat samaada pihak hospital atau pun ibu bapa tersebut," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa bayi tidak boleh mengabaikan bayi yang ditinggalkan kepada pusat jagaan bayi begitu sahaja, sebaliknya mereka perlu mengambil tanggungjawab penuh keatas zuriat mereka itu.
“Hal ini, saya tak nampak ada keburukan lagi, malah dapat membantu peratus buangan bayi di kawasan tertentu tanpa jagaan rapi," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan