Isnin, 9 Julai 2012

Mogok lapar: GMI desak Hishammuddin beri respons

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan terus menggesa Menteri Dalam Negeri memberikan respons berhubung nasib 45 tahanan yang masih terkurung di Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata biarpun selepas beberapa siri protes diadakan badan anti-ISA itu, menteri terbabit tidak pernah memberikan respons serius terhadap tuntutan GMI.

"Kita mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien memberikan jawapan serius tentang nasib 45 tahanan ISA yang kini sedang melancarkan mogok lapar.

"Kita mahu jaminan menteri dan kerajaan tentang nasib mereka ini selepas ISA dimansuhkan, dan menggesa agar mereka dibebaskan selaras dengan pemansuhan akta itu," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga mengingatkan Hishammuddin dan kerajaan bahawa badan itu akan terus mengadakan siri-siri protes di hadapan Kemta, selain mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung isu ini.

Semalam, kira-kira 500 peserta menyertai protes di hadapan Kemta dan protes itu akan terus dilakukan pada 15 Julai akan datang, di lokasi sama.

"Sebelum ini, pada 1 Julai lalu, kira-kira 50 hingga 100 orang menyertai protes tersebut.  Dan semalam, kira-kira 500 orang datang. Jadi, kita harap pada 15 Julai akan datang, lebih ramai yang akan hadir menyatakan sokongan kepada 45 tahanan ISA ini," kata beliau.

Beliau juga dimaklumkan, biarpun menteri tidak memberikan sebarang respons terhadap protes mereka, pihaknya dimaklumkan protes tersebut memberi tekanan kepada pihak kem.

Dalam pada itu, beliau berkata GMI terus menggiatkan kempen berkenaan ISA sepanjang bulan Ramadan seperti kempen kad ramadan, kad ucapan raya, penghantaran buah kurma sebagai tanda ingatan dan sokongan rakyat di luar Kemta.

Syed Ibrahim juga turut menyatakan pihaknya mempunyai perancangan untuk bertemu dengan Hishammuddin, sama ada mengadakan perbincangan ataupun protes di hadapan pejabat Kementerian Dalam Negeri.

Tiada ulasan: