Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak perlu dipersalahkan dalam isu bekalan air di negeri tersebut.

"Kita selaku kerajaan nak menyelesaikan masalah. Tapi malangnya ia berlaku di negeri Selangor. Kenapa tak berlaku dulu masa BN memerintah dan sekarang dikatakan SYABAS penyebabnya.

"Tiada apa yang perlu dikaitkan dengan SYABAS. Apa yang penting di sini ialah bagaimana nak menyelesaikan isu ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan satu program amal di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Shafie juga berkata, masalah yang dihadapi oleh kerajaan Selangor perlu diatasi dengan membina loji rawatan air.

"Masalah kita perlu kenal pasti. Nak mengatasi masalah ialah kita wujudkan pusat untuk rawat air. Ia tidak memerlukan wang yang banyak sehingga RM10 bilion. Kurang daripada RM10 bilion di mana kerajaan negeri tak perlu melabur dari segi perbelanjaan yang begitu besar.

"Kalau dilihat secara rasional dan tak berpandu pada ideologi politik, ia (pusat rawatan air) satu kepentingan bagi rakyat. Kata demi rakyat tapi cakap sahaja," katanya lagi.

Kerajaan Selangor menentang pembinaan Loji Langat 2 dengan alasan, negeri itu akan menanggung kos bernilai RM8.65 bilion, selain bayaran RM60 juta royalti air kepada Pahang setiap tahun untuk bekalan air mentah.

Selain itu,  menurut kerajaan Selangor, akan menghalang usaha memberi bekalan air percuma kepada warganya.

Selangor telah mengumumkan untuk campur tangan dalam pengurusan SYABAS dan akan merombak pengurusan tertinggi syarikat tersebut bagi mengurangkan kos pentadbiran syarikat tersebut.

Rancangan penyusunan semula perhidmatan air di Selangor juga melibatkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan SYABAS yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri Selangor lanjutan daripada kenyataan dan cadangan untuk membuat catuan air yang diumumkan oleh syarikat berkenaan.

Dalam reaksinya kepada tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu, kerajaan pusat yang giat melobi untuk pembinaan Loji Langat 2 kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa khas peringkat kabinet untuk meneliti isu berkenaan.