SHAH ALAM : Isu pemberian kontrak ‘Karnival Terima Kasih Rakyat’ selesai apabila Kerajaan Negeri sudah menyelaraskan prosedurnya mengikut tatacara perbendaharaan negeri, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat dakwaan penyelewengan dalam perolehan perkhidmatan dan produk untuk karnival terbabit yang melibatkan kos lebih RM1 juta dari 15 pembekal.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sudah melihat dari semua keseluruhan aspek untuk diselaraskan dan diperbetulkan.
“Ini pengetahuan kita, apabila kita tahu sesuatu keadaan itu tidak betul, kita terus panggil audit dan bendahari negeri untuk mengaudit. Seterusnya apabila sudah diaudit, kita tengok ada atau tidak yang selaras dengan kehendak tatacara perbendaharaan.
“Dalam usaha ini sekiranya tidak selaras kita selaraskan dan perbetulkan. Bagaimanapun perkara ini sudah diperbetulkan dan selepas ini semua berjalan dengan baik,” katanya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri akan memastikan kontrak itu tidak akan dijalankan seperti sebelum ini.
“Kita mengambil keputusan supaya ia tidak lagi dibuat secara begini. Tetapi tujuan karnival itu betul iaitu untuk mengadakannya sebagai penghargaan kepada rakyat dan itu sudah dipersetujui oleh semua Exco dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Ketika ditanya apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri berhubung kontrak RM360,000 yang diambil oleh salah seorang kakitangan Adun, Abdul Khalid berkata pihaknya sudah meneliti perkara itu.
“Kita tengok sama ada adakah yang dibuat itu secara ‘Value For Money’ atau tidak dan kita tengok adakah ia berasaskan tatacara yang betul. Kita sudah pun tengok dan kita sudah perbetulkannya,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan