Isnin, 2 Julai 2012

MB : Ahli Lembaga Pengarah UNISEL Berkebolehan Tinggi





SHAH ALAMI : Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (UNISEL) terdiri daripada mereka yan berkelayakan dan berkebolehan walaupun mereka datang dari ahli politik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan tersebut berdasarkan kelulusan dan bebas dari pengaruh kepartian meskipun orang itu dari kalangan orang politik.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mementingkan kualiti dan sumbangan yang mampu diberikan mereka yang dilantik demi kemajuan UNISEL.

Katanya, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di negeri lain juga melakukan perkara yang sama.

“Kita lihat banyak universiti ada wakil kerajaan. Saya wakil kerajaan Selangor dan biasanya Pengerusi UNISEL adalah wakil kerajaan Selangor.

“Saya pilih Dr Che Rosli Che Mat. Walaupun Dr Che Rosli Ahli Parlimen Hulu Langat tetapi dia mempunyai kelulusan Sains Nuklear untuk menolong membina pusat atom.

“Kalau itu kita bangkang, maknanya kita tidak pilih orang yang baik,”Abdul Khalid berkata di dalam satu sidang media di sini hari ini selepas upacara penyerahan surat hak milik kepada penduduk Kampung Subang Tambahan.

Abdul Khalid memberi respons terhadap kenyataan Timbalan Pengerusi Umno-BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mempersoalkan perlantikan ahli politik di dalam lembaga pengarah UNISEL.

Noh mempersoal mengapa tiga daripada 10 ahli lembaga itu adalah ahli politik.

Selain Dr Che Rosli, mereka adalah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

“Jadi kalau Noh Omar ada orang yang setaraf dengan Dr Che Rosli maka dia boleh cadangkan kepada saya.

“Maknanya dia adalah mereka yang akan memberi nama baik kepada negeri Selangor.”

Tiada ulasan: