Khamis, 12 Julai 2012

Malaysia di laluan getir pertahan Piala AFF

SINAR HARIAN

Harimau Malaya
Harimau Malaya
 
 
KUALA LUMPUR - Malaysia berdepan laluan sukar untukmempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi dua tahun lepas apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B pada kejohanan itu yang akan berlangsung, November ini.

Turut akan disenaraikan dalam kumpulan berkenaan ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Okober depan.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Oktober di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Skuad bola sepak kebangsaan yang turut dikenali sebagai 'Harimau Malaya' muncul juara edisi kelapan kejohanan dwi-tahunan itu pada 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 menerusi perlawanan timbal balik.

Pada undian yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini dan disiarkan melalui laman web kejohanan www.affsuzukicup.com , juara tiga kali Thailand, yang menjadi hos bersama Malaysia pada kejohanan kali ini, mendapat laluan mudah selepas diundi dalam Kumpulan A bersama juara 2008, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan, kelak.

Perlawanan Kumpulan A akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 November hingga 22 Disember.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dan mereka akan bermain menggunakan format timbal balik bermula dari 8 hingga 13 Disember.

Pemenang saingan separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir dengan menggunakan format yang sama pada 19 dan 22 Disember.

Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen kejohanan menentang Singapura pada 25 November diikuti menentang naib juara pusingan kelayakan pada 27 November sebelummenutup aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1  November.

Juara kejohanan akan menerima AS$200,000 (RM636,692) manakala naib juara AS$75,000 (RM238,676).

Sementara itu, beberapa bekas pemain dan jurulatih kebangsaan menyifatkan undian kali ini merupakan satu saingan yang cukup hebat kerana kebanyakan pasukan di rantau Asia Tenggara kini menunjukkan peningkatan.

Bekas pemain kebangsaan era 1980 dan 1990-an, Zainal Abidin Hassan berkata, undian kali ini memperlihatkan cabaran sebenar yang terpaksa ditempuh skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mempertahankan piala tersebut di hadapan penyokong sendiri.

"Saya melihat undian kali ini agak sengit memandangkan Indonesia dan Singapura sememangnya pasukan yang sukar dikalahkan... namun saya percaya dengan barisan pemain serta kelebihan bermain di tempat sendiri, kita mampu mempertahankan piala tersebut," katanya yang kini menjadi pengurus pasukan Pahang.

Pandangan Zainal Abidin itu turut dipersetujui bekas jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim yang melaungkan keyakinan bahawa skuad Harimau Malaya mampumempertahankan piala tersebut di laman sendiri.

"Saya akui undian kali ini agak sukar namun pemain kebangsaan tidak perlu menjadikan ia sebagai alasan untuk mempamerkan permainan sambil lewa... kita bermain di tempat sendiri, kelebihan itu wajar dipergunakan sepenuhnya pemain kita," katanya.

Beliau yang kini menjadi Ketua Jurulatih PKNS Selangor berharap pemain skuad Harimau Malaya tidak memandang mudah cabaran pasukan lain yang turut bersaing pada kejohanan kali ini. - Bernama

Tiada ulasan: