Selasa, 17 Julai 2012

Liong Sik: Surat untuk Dr M mengandungi penipuan





KUALA LUMPUR— Tun Dr Ling Liong Sik hari ini memberitahu bahawa dia tidak tahu tentang surat untuk Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2002, yang beliau sendiri tandatangan berkenaan dengan pembelian tanah untuk Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) mengandungi penipuan.

Bekas Menteri Pengangkutan itu mempertahankan dirinya di kandang saksi hari ini berkata, beliau terkejut dengan pendedahan penipuan yang ada di dalam surat itu dan menegaskan bahawa beliau tidak tahu surat itu mengandungi penipuan.

“Kalau saya tahu, saya akan betulkan atau tidak menghantar surat tersebut,” beliau memberitahu mahkamah ketika disoal oleh peguambelanya Wong Kian Kheong tengah hari ini.

Menurut surat tersebut, yang dibaca oleh Wong di mahkamah hari ini, Dr Ling (gambar) menulis untuk memberitahu Dr Mahathir bahawa Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), syarikat pemaju PKFZ telah bersetuju untuk menjual tanah seluas 999.5 ekar itu atas dasar harga pasaran bebas dengan harga RM25 sekaki persegi dan 7.5 peratus faedah atau keseluruhan bayaran itu dengan harga RM1.088 billion untuk projek tersebut.

Surat itu ditandatangani Ling pada 29 Jun, 2002 berkata persetujuan dengan KDSB akan membawa “keuntungan dan faedah” kepada kerajaan.

Tetapi Dr Ling berkata terdapat penipuan dalam surat tersebut, antaranya mengikut minit mesyuarat antara KDSB dengan kementeriannya pada 17 April tahun yang sama, bahawa perbincangan itu tidak seperti apa yang diberitahu.

Beliau memberitahu bahawa tidak menghadiri mesyuarat itu, sambil berkata jika dia hadir, dia tidak akan menghantar surat itu kepada Dr Mahathir.

“Surat ini sungguh mengejutkan, kerana berdasarkan surat (minit mesyuarat), perjumpaan itu langsung tidak berjaya. Mereka menuduh antara sendiri mengenai kewujudan rasuah.

“Bagaimana saya boleh beritahu PM bahawa ini boleh menguntungkan kerajaan?

“Berdasarkan minit mesyuarat ini, surat ini mengandungi penipuan,” katanya dengan nada kecewa kepada Mahkamah Tinggi.

“Saya tidak begitu berani untuk berbohong kepada Perdana Menteri, lebih-lebih lagi dengan penemuan ini,” katanya lagi tentang minit mesyuarat itu.

Wong kemudian memberitahu mahkamah bahawa Kementerian Pengangkutan pada ketika itu diwakili oleh Setiausaha Umumnya Datuk Zaharaah Shaari, Timbalan Setiausaha Umum Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, dan bekas penolong setiausaha bagi pengurusan pelabuhan P. Chandrasakeran.

Mereka bertiga adalah saksi pendakwa yang telah disoal pada tahun lalu.

“Adakah mereka para pegawai yang menyediakan P24 (surat untuk PM) berserta dua lampiran?” tanya Wong.

“Saya rasa, ya. Sebab mereka pegawai yang telah lama menguruskan projek ini,” jawab Dr Ling.
“Ketika kamu menandatangani P24 itu, adakah kamu berhasrat untuk menipu atau mengelirukan PM?” tanya Wong lagi.

“Sudah tentu tidak,” jawab Dr Ling.

“Pada mulanya, untuk saya menulis surat ini dengan merujuk kepada mesyuarat 17 April itu akan memusnahkan saya, sebab saya mengatakan ia projek yang menguntungkan sedangkan itu adalah penipuan,” jawab Ling lagi.

Bekas Presiden MCA ini boleh dikenakan penjara tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah menipu Kabinet dalam pembelian 999.5 ekar tanah untuk projek PKFZ, yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Dia juga berhadapan dengan tuduhan berlainan kerana menipu Kabinet bahawa terma pembelian RM25 sekaki persegi dan 7.5 peratus kadar faedah telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) walaupun menyedari bahawa tidak sebarang persetujuan begitu.

Tiada ulasan: