Selasa, 31 Julai 2012

Lepas ini Kerajaan negeri Terengganu pula dilelong?

Harakahdaily,
KUALA TERENGGANU: Apakah kerajaan negeri Terengganu terlelong ekoran tanah yang dicagarkan kerajaan negeri kepada sebuah bank dilelong baru-baru ini?

Inilah persoalan yang dbangkitkan oleh Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad (gambar) dalam satu tulisannya.

Inilah yang berlaku kepada tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) seluas kira-kira 15 hektar yang terletak di Mukim Kerteh yang terpaksa di lelong.

Tanah yang menjadi milik kerajaan negeri ini telah digadaikan kepada bank pada tahun 1997 bagi membangunkan satu projek 432 lot perumahan bercampur yang dikenali sebagai ‘Bandar Baru Kerteh Jaya’.

"Amat memalukan! Akibat kegagalan membayar pinjaman, Hong Leong Bank telah melelong  tanah milik kerajaan negeri ini melalui satu lelongan awam yang telah diadakan pada 18 Julai, 2012," tulis beliau.

Menurut dokumen Lelongan Awam terbabit, tanah tersebut telah di lelong pada jam 10.30 pagi di Bilik Lelong Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Sebuah syarikat bukan Bumiputera, yang berpengkalan di Pulau Pinang, Alam Sierra Development  Sdn Bhd telah menjadi pembida tunggal yang berjaya membida tanah kerajaan negeri itu dengan harga rezab RM 5.594 juta.

Ia mempunyai 158 lot tapak rumah banglo, 168 lot tapak rumah berkembar dan 106 lot tapak rumah kedai.

"Persoalan besar yang menjadi tanda-tanya kepada seluruh rakyat Terengganu kini adalah, siapakah yang bertanggungjawab dengan kejadian yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu ini?" soal Syed Azman dalam tulisan itu.

Tiada ulasan: