Selasa, 24 Julai 2012

Lebuh Raya Rakyat terima sumbangan pelajar UK

Salmah Mat Husain,



KOTA BHARU: Mahasiswa Malaysia di luar negara khususnya United Kingdom (UK) dan Ireland turut menyumbang untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan Kelantan.

Sebanyak RM8,000 dikumpul oleh pelajar jurusan perubatan untuk diserahkan pada kerajaan negeri untuk menjayakan pembinaan jambatan itu yang bakal dibina tidak lama lagi.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh wakil pelajar berkenaan, Mohammad Azli Omizi, 21, Mohd Azam Omizi, 23 dan Azri Che Hassan, 21 kepada anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Azli ketika ditemui memberitahu, sumbangan berkenaan sebahagian besarnya diberikan oleh pelajar Kelantan jurusan perubatan di dua universiti tersebut.

“Ianya adalah tanggungjawab kami untuk melihat projek untuk rakyat itu berjalan baik,” ujarnya.

Sementara itu, Husam pada sidang medianya semalam berkata, sumbangan orang ramai melalui online untuk pembinaan lebuhraya itu sudah meningkat RM1 juta.

Menurutnya pelbagai pihak telah menyalurkan sumbangan untuk menjayakan pembinaan itu, termasuk individu, syarikat koprat, anak Kelantan di perantauan, golongan artis dan berbagai lagi.

Semalam kita juga menerima sumbangan daripada KGT sendiri.

“Malah pada 4 Ogos ini dengan kerjasama dengan kumpulan media dengan dibantu anak Kelantan di perantauan akan menganjurkan program memungut derma untuk tujuan yang sama,” ujarnya.

Pembinaan Lebuh Raya Rakyat sejauh 73 kilometer untuk fasa pertama yang menelan kos RM1.8 juta itu terpaksa dibina sendiri oleh kerajaan negeri berikutan Kerajaan Pusat menarik balik pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Tiada ulasan: