Selasa, 3 Julai 2012

Kuota haji Malaysia bakal diketahui Ramadan ini

SINAR HARIAN

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
 
 
SHAH ALAM - Jumlah kuota jemaah Malaysia yang dibenarkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diketahui Ramadan ini.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan sudah berusaha secara positif bagi memastikan sekurang-kurangnya kuota sebelum ini seramai 28,000 jemaah, dikekalkan.
  
Kerajaan benar-benar berharap tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengadakan demonstrasi Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lepas tidak menjejaskan jumlah kuota jemaah haji Malaysia tahun ini, katanya
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan amanat kepada 'Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci Musim Haji 1433H/2012' yang menjalani kursus pengukuhan selama empat hari mulai Ahad lepas di sini.
   
Jamil Khir berkata kerajaan menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun menghubungi kerajaan Arab Saudi mengenai isu itu.

Malah semasa lawatan perdana menteri ke Arab Saudi pada bulan lepas untuk memberi penghormatan terakhir ke atas Putera Mahkota Nayef bin Abdul Aziz Al Saud yang mangkat pada bulan lepas, Najib turut memohon kerajaan Arab Saudi memberi pertimbangan kepada kuota Haji Malaysia, katanya.
  
Jamil Khir berkata setakat hari ini jumlah yang mendaftar dengan Tabung Haji ialah seramai 984,204 orang dan 12,000 ialah mereka yang berusia 75 tahun ke atas.
  
Justeru itu, Tabung Haji juga perlu mengambil kira kehadiran golongan ini dengan menyediakan  pegawai perubatan yang secukupnya, katanya.
  
Beliau berkata Tabung Haji juga masih memberi subsidi kos Haji, kerana kos sebenar mengerjakan haji tahun ini ialah RM15,155 seorang, tetapi jemaah haji Malaysia hanya membayar RM9,980 seorang.
  
Jamil Khir berkata Tabung Haji akan mewujudkan Talian Ibadah dan memperkenal e-Book Tabung Haji sebagai penambahbaikan perkhidmatannya. - Bernama

Tiada ulasan: