Isnin, 23 Julai 2012

K’jaan tolak cadangan S’gor ambil alih Syabas

KEADILAN DAILY

Ini kerana kerajaan negeri tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.




PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu-isu Air Selangor hari ini menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu berkata soal pengambilalihan Syabas tidak boleh dilakukan kerana kerajaan negeri Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.

“Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan (membabitkan) prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas.

“Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad,” katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama pada mesyuarat hari ini ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan menetapkan keutamaan untuk diselesaikan serta melaporkan keputusan-keputusan jawatankuasa kepada Jemaah Menteri.

Jawatankuasa akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Projek Langat 2 diteruskan

Muhyiddin berkata pada mesyuarat hari ini, jawatankuasa juga memutuskan bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan diteruskan dan tawaran akan dibuka dalam tempoh sebulan akan datang.

Beliau berkata Peguam Negara akan mengkaji undang-undang tanah agar Langat 2 yang akan mempunyai kapasiti 1,130 juta liter sehari (MLD) dapat diteruskan untuk membekalkan air kepada penduduk di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Mesyuarat hari ini berpendapat walau apa keadaan sekali pun, projek ini (Langat 2) perlu diteruskan. Walaupun kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan, namun sampai hari ini kerajaan negeri (Selangor) tidak memberi kebenaran.

“Saya telah mengarahkan Peguam Negara segerakan perkara ini. Peguam Negara akan bermesyuarat petang ini untuk meneliti perkara ini,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan Pusat akan memastikan projek pembinaan Langat 2 ditawarkan kepada syarikat yang berupaya dan berharap ia boleh bermula pada tahun ini.

“Jawatankuasa berpendapat ini merupakan satu perkara yang penting dan kalau ia tidak dilaksanakan mengikut pandangan kita (kerajaan pusat), situasi (masalah air) akan bertambah buruk.

“Kita mahu menentukan syarikat yang ditawarkan boleh memulakan kerja sebaik kerajaan negeri memberi kebenaran,” katanya sambil menambah projek Langat 2 akan mengambil masa tiga setengah tahun untuk siap.

Catuan air
 
Mengenai cadangan Syabas pada 14 Julai lalu untuk mengadakan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Muhyiddin berkata ia belum perlu dilaksanakan buat masa kini namun beberapa tempat di sekitar Lembah Klang akan menghadapi masalah air.

“Pada masa ini, kawasan-kawasan tertentu yang dikategorikan merah (kawasan yang sering menghadapi masalah air dan bekalan air bersih) akan menghadapi masalah air dan Syabas akan menyediakan bekalan air di kawasan tersebut,” katanya sambil menambah antara kawasan berkenaan termasuk Kapar, Klang, Taman Indah Seputeh, Pandan Indah dan Pandan Perdana di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata jawatankuasa juga memutuskan Syabas dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan menyediakan pelan kontingensi dalam beberapa hari ini sekiranya catuan air perlu diadakan.

Sementara itu, ketika ditanya sebab wakil kerajaan negeri Selangor tidak dijemput dalam mesyuarat hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana mesyuarat adalah di peringkat persekutuan dan mahu meneliti daripada “sudut kita”.

“Perkara-perkara tertentu nanti, kerajaan negeri Selangor akan terlibat. Di peringkat itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan mereka,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: