Isnin, 9 Julai 2012

Khairiah, senator wanita ke-7 lantikan PAS Kelantan

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Pegawai Undang-Undang Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Khairiah Mohamed, 38, hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Mumtaz Mohd Nawi.

Khairiah dicadangkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disokong Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Dun) yang lepas.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberi kepercayaan penuh dan melantik saya sebagai senator.

"Amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada saya ini akan saya tunaikan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara," jelasnya kepada pemberita di lobi parlimen.

Beliau selaku Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Kelantan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh keluarganya dan juga Dewan Muslimat PAS negeri yang sentiasa menyokong perjuangannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Ranjang, Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan keyakinan bahawa Khairiah dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Khairiah atas perlantikan sebagai senator, ini merupakan senator yang ketujuh dari muslimat sepanjang PAS memerintah Kelantan.

"Saya yakin dengan pengalaman dan latar belakang beliau miliki, Khairiah dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang lebih berkesan kepada dewan dan negara," katanya.

Khairiah sebelum ini berkhidmat selama 11 tahun di MPKB BRI berasal dari Kubang Kerian, kini menetap di Kampung Sabak Pengkalan Chepa.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa dan Ijazah Sarjana Syariah di Universiti Malaya.

Tiada ulasan: