Isnin, 23 Julai 2012

Kerajaan negeri belanja RM225 juta untuk projek tebatan sungai di Selangor

 
PUTRAJAYA— Kerajaan negeri Selangor akan membelanjakan RM225 juta jika kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan enggan memberi dana untuk projek tebatan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di loji Sungai Selangor 1 (SSP1) dan loji Sungai Selangor 3 (SSP3) di Sungai Selangor.

Menurut Exco Dr Xavier Jayakumar, pemohonan untuk pinjaman bagi projek itu telah dipohon pada awal tahun ini tetapi masih tiada sebarang respon dari Kementerian Kewangan.

Dr Jayakumar mengadakan sidang akhbar selepas melawat loji rawatan air di Precint 19, Putrajaya. Di sebelah kanan adalah Pengurus Besar Operasi ABBAS, Basar Ishak. — Foto oleh Saw Siow Feng
Dr Jayakumar berkata, projek ini penting untuk memastikan kadar air tidak dirawat (NRW) mesti dikurangkan dan tarif air mestilah adil dan mampu dimiliki oleh rakyat, dan memastikan bahawa kenaikan harga air hanya sekitar 12 peratus sahaja.
 Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Andalas itu lagi, kenaikan harga oleh SYABAS sepanjang satu setengah tahun dari 2010 ialah sebanyak 34 peratus, dan 5 peratus sepanjang tahun ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga bersedia untuk membelanjakan hingga RM300 juta untuk belanja tambahan untuk meningkatkan teknologi untuk meningkatkan pengeluaran air terawat untuk tambahan 100 ke 150 juta liter sehari (MLD).

“Sebenarnya tidak ada krisis seperti didakwa oleh pihak SYABAS. Contohnya, menurut angka yang diberikan ABASS (syarikat air negeri) kepada kami, bekalan air dibekalkan ke Seri Kembangan secara berterusan walaupun itu merupakan kawasan bekalan dari pihak SYABAS,” katanya dalam sidang media selepas diberi penerangan selama sejam oleh pegawai ABASS di loji rawatan di Precint 19, Putrajaya hari ini.

“Keengganan SYABAS untuk berbincang dengan kami juga menyebabkan kesukaran kami untuk menyelesaikan masalah ini.

“Oleh itu kerajaan negeri telah bersedia untuk mengambil alih kesemua dari 33 loji rawatan bekalan air di Selangor.”

Kerajaan negeri melalui ABASS memiliki 4 daripada 33 loji rawatan bekalan air di seluruh negeri Selangor untuk bekalan air di seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan negeri juga mahu bertindak membawa SYABAS ke mahkamah kerana melakukan jenayah mengugut rakyat Selangor kerana memberitahu kepada umum terdapat krisis air akan berlaku walaupun angka-angka tersebut tidak mengatakan demikian.

“Ini adalah jenayah SYABAS kepada rakyat Selangor dengan menakutkan rakyat Selangor dengan krisis bekalan air seterusnya berlaku catuan.”

Katanya lagi, projek ini siap pada 2015 agar tidak berlaku krisis air nanti.

Beliau juga berkata kerajaan negeri menimbang untuk teknologi membran seperti yang digunakan oleh Wessex Waters di United Kingdom.

“Satu kebaikan teknologi ini, ianya mudah digunakan tanpa mengganggu bekalan air semasa penambahbaikan nanti,” kata beliau.

Tiada ulasan: