Selasa, 3 Julai 2012

Jual Dokumen Rahsia Negara : Kerajaan Perlu Bertindak Segera

Editor Buletin


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius isu penjualan dokumen rahsia berkaitan kapal selam Scorpene kepada syarikat pertahanan Perancis seperti yang didakwa oleh sebuah NGO, iaitu SUARAM. SUARAM mendakwa syarikat pembuat kapal Perancis DCNS membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, untuk mendapatkan dokumen rahsia tersebut  bagi tujuan kerja-kerja “kejuruteraan komersial”.

Dalam pada itu, jawapan balas Menteri Pertahanan negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa pihak kerajaan tiada maklumat mengenai apa-apa dokumen rahsia pertahanan yang dikeluarkan dari negara dan kerajaan tidak berminat untuk menghantar wakil pemerhati sekiranya inkuiri kehakiman tersebut menjadi kes penuh di mahkamah Perancis amat mengecewakan. Ini menunjukkan kerajan benar-benar tidak serius menangani penyelewengan ini serta menyiasat dakwaan ini secara menyeluruh. DPPM juga merasa kesal kerana usul mengenai isu ini ditolak oleh Dewan Rakyat bulan lalu tanpa sebarang perbahasan panjang mengenainya.

Dalam keadaan seluruh dunia heboh memperkatakannya malah ia mula dibicarakan di mahkamah Perancis, kerajaan Malaysia menganggap itu kes kecil dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia. Tidak sepatutnya Datuk Seri Dr Zahid menjawab dalam bentuk penafian begini lebih-lebih lagi kerana kes ini membabitkan nama pemimpin utama negara ini iaitu Perdana Menteri sendiri.

Kerajaan Malaysia sepatutnya memandang ini sebagai isu yang amat penting untuk ditangani kerana ia boleh menjejaskan kedudukan pertahanan negara. Menjual dokumen yang dikategorikan sebagai rahsia negara adalah satu perbuatan khianat dan pelakunya mesti didakwa dan dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahannya. Jika dokumen rahsia pertahanan negara juga boleh dijual beli, ini petanda buruk keselamatan negara sedang diancam dan negara berada dalam keadaan bahaya kerana terdedah dengan serangan dan manipulasi oleh musuh.

DPPM juga melihat tindak balas yang negatif serta tiada respons daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan anggota kabinet yang lain dalam isu ini seolah-olah merahsiakan ada suatu rahsia besar yang cuba disembunyikan dari pengetahuan umum. Jika isu ini hanya semata-mata fitnah, PM perlu menyaman media antarabangsa yang cuba mengaitkan nama beliau. Jika tidak, ia hanya menguatkan spekulasi bahawa mungkin beliau benar-benar terlibat dalam skandal paling memalukan negara ini atau beliau sememangnya lemah bagi melawan serangan bertali arus ‘musuh politik luarnya’ sehingga gagal bertindak dalam mengawal api yang sedang merebak ini.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: