Rabu, 11 Julai 2012

Jaguh sepak takraw negara era 70-an meninggal dunia

SINAR HARIAN

 KUALA LUMPUR - Bekas jaguh sepak takraw kebangsaan era 1970-an, Datuk Khalid Din meninggal dunia awal pagi ini akibat penyakit buah pinggang dan radang paru-paru.

Allahyarham berusia 67 tahun. Menurut satu kenyataan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri Datin Khalidah Lee Abdullah dan tiga anak perempuan iaitu Diana, Rozaimah dan Putri di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, di sini.

"Kami daripada Yakeb mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman," menurut kenyataan itu.

Sebagai ahli Yakeb, keluarga arwah akan menerima sumbangan khairat kematian Yakeb berjumlah RM11,000.

Semasa zaman kegemilangannya, Khalid cukup dikenali sebagai ‘orang besi’ di kalangan rakan-rakan ekoran keberaniannya menahan libasan lawan dan membuat hadangan menggunakan kepala.
         
Allahyarham, yang beraksi sebagai apit kiri, pernah mewakili negara di Sukan Asia 1970 di Bangkok, Thailand ketika sukan sepak takraw diperkenalkan sebagai sukan pertunjukan di negara Gajah Putih itu dan merupakan anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEAP Singapura 1973 dan Bangkok 1975.  

Allahyarham pernah bertanding pada Kejohanan Piala Raja Thai serta mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam beberapa kejohanan seperti Kejohanan Piala Emas Khir Johari, Piala Tun Razak, Piala Tunku Abdul Rahman dan kejohanan berprestij lain.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Cheras selepas solat Zohor. -- Bernama

Tiada ulasan: