Selasa, 24 Julai 2012

Isu JI-komunis: DAP dakwa Hishammuddin muflis modal politik

WARTAWAN SINAR HARIAN

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok
 
 
KUALA LUMPUR – DAP mendakwa Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah ketandusan modal politik dan memburukkan imej Pakatan Rakyat (PR) kerana mengaitkan parti itu dengan bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) dan pengaruh komunis.

“Saya menyeru Hishammuddin supaya beliau bertanggungjawab berhubung isu ini.

“Beliau selaku menteri tidak harus menggunakan kuasa yang ada pada dirinya menggunakan nama polis untuk memburukkan PR," kata Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok menyentuh kenyataan Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dan kenyataan susulan Hishammuddin minggu lalu.

Mohd Sofian antara lain berkata, Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mohd Sofian berkata, terdapat pengganas JI pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Teresa berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di sini, hari ini.

Hishammuddin sebelum ini berkata, kenyataan dikeluarkan adalah fakta yang disiasat melalui satu cawangan khas yang ditubuhkan.

“Melalui laporan diterima daripada cawangan khas, ini adalah ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Menurut pemimpin DAP itu, isu ini hanya isu lapuk dan tidak harus dibangkitkan semula semata-mata bagi kepentingan Barisan Nasional (BN).

“Jelas beliau menyalah gunakan kuasa mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas itu,” katanya.

Tambahnya, Hishammuddin sendiri tidak berjaya menurunkan kadar jenayah negara ini dan tidak wajar menyalahkan PR.

"Jangan gunakan kuasa anda sebagai menteri untuk menyalahkan parti lawan," tegasnya.

Tiada ulasan: