Jumaat, 27 Julai 2012

Harga barang naik ketika Ramadan, menjelang Aidilfitri

SINAR HARIAN

KR1M
 
 
KUALA LUMPUR - Ketika bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri menjelang tiba, harga barangan keperluan pengguna didapati meningkat.
  
Misalnya dalam tinjauan Bernama di Pasar Basah Seksyen 17, Petaling Jaya, didapati bawang besar yang sebelum ini dijual pada harga RM2.20 sekilogram, meningkat ke RM2.50 sekilogram.
  
Begitu juga dengan cili merah yang sebelum ini dijual RM9 sekilogram naik kepada RM10 sekilogram sementara tepung gandum naik kepada RM2.20 sekilogram berbanding RM2.10 sebelum ini.
  
Seorang peniaga sayur M. Ganesamy, 31, mengakui tentang kenaikan harga barangan dengan berkata pemborong mengenakan harga yang mahal menyebabkan para peniaga turut terpaksa menaikkan harga, misalnya harga ubi kentang dan bawang naik antara 10 hingga 40 sen.
  
"Kami terpaksa berbuat demikian kerana menurut pemborong, bahan-bahan tersebut mempunyai permintaan yang tinggi sebelum dan semasa bulan puasa.
 
"Ramai pelanggan yang merungut kerana harga yang dijual lebih mahal berbanding hari-hari biasa, tetapi kami tidak boleh buat apa-apa kerana pemborong menjual pada harga begitu," katanya kepada Bernama.
   
Ia disokong oleh suri rumah, Ruby Wong, 29, bahawa sesetengah bahan mentah dijual dengan harga mahal terutama pada musim perayaan menyebabkan beliau tidak berani membelinya dalam kuantiti yang banyak.
  
"Tidak kira sambutan Deepavali, Hari Raya ataupun Tahun Baru Cina, harga bahan-bahan masakan seperti cili, ubi kentang, telur dan sayuran mesti naik kerana peniaga mahu mengambil kesempatan sempena musim perayaan," katanya.
   
Namun keadaan ini didapati tidak berlaku di sebuah pasar raya di ibu kota dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kelana Jaya.
  
 Harga barangan di pasar raya ini tidak mengalami kenaikan, walaupun dihadkan penjualannya bagi setiap pelanggan.
 
Pengurus pasar raya berkenaan yang enggan dikenali berkata permintaan tinggi untuk barangan makanan pada bulan puasa menyebabkan pihaknya terpaksa mengehadkan kuantiti penjualan.
   
"Barangan seperti minyak masak, kita beri dua botol setiap pelanggan dan telur dihadkan hanya 60 biji seorang. Kita hadkan kerana bimbang bekalan untuk pelanggan tidak cukup.
  
"Selain itu gula, mentega dan susu sejat krimer manis antara barangan yang mudah habis dijual dan barangan tersebut terpaksa dihadkan penjualannya untuk mengekalkan bilangan stok," katanya.
  
Pengurus KR1M Kelana Jaya, Mohd Luqman, 40, berkata harga barangan kawalan seperti minyak masak, gula dan beras tidak berubah dan bekalannya mencukupi sehingga menjelang Aidilfitri.
  
"Beras dan minyak masak antara barangan yang cepat habis dijual, biasanya pelanggan akan membeli dalam kuantiti yang banyak menyebabkan kami terpaksa menambahkan bilangan barangan tersebut dari stor kami setiap hari.

"Pelanggan tidak perlu risau akan kekurangan bekalan makanan di KR1M kerana kami akan sentiasa menambah bilangan barangan dari semasa ke semasa," katanya.
 
Pengunjung KR1M itu, Halina Bibi, 54, berkata harga barangan sentiasa kekal stabil di KR1M tetapi tidak berlaku di pasar biasa.
  
"Kerana harga barangannya stabil, saya lebih suka berbelanja di KR1M berbanding di pasar lain yang harga barangannya tidak menentu naik turunnya," katanya.   - Bernama

Tiada ulasan: