Rabu, 4 Julai 2012

Fitnah isu Talam, MCA Disaman





SHAH ALAM : Tindakan tidak berasas MCA bahawa Kerajaan Negeri melakukan penyelewengan RM1 bilion berhubung isu Talam Corporation Bhd(Talam) menyebabkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap parti itu.

Menyifatkan tuduhan bukan sahaja tidak benar, berat dan serius malah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia mencemar nama baik Kerajaan Negeri yang menyebabkan keputusan mengambil tindakan undang-undang ini.

“Kita akan memfailkan saman tersebut dalam masa terdekat. Sehubungan itu, kita tidak akan membuat apa-apa ulasan buat masa ini demi untuk tidak mengganggu proses perundangan kelak,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK di sini.

Abdul Khalid sekali lagi turut menegaskan akan membentangkan laporan penuh atau ‘kertas putih’ berhubung penstrukturan semula hutang Talam ketika pembentangan Bajet Selangor 2013, dijangka November ini.

Katanya, kertas putih ini akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 untuk memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang Talam.

Usaha ini dilakukan kerana masih ada pihak-pihak yang tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang Talam.

Mengulas dakwaan MCA bahawa Kerajaan Selangor menggunakan RM260 juta untuk menyelamatkan Talam, Menteri Besar berkata beliau tidak faham mengapa angka itu berubah-ubah kerana sebelum ini MCA mendakwa jumlahnya RM1 bilion.

“Ini menunjukkan MCA tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang ini. Mungkin kita perlukan rakan kita dari DAP mengajar MCA tentang cara-cara penyusunan hutang ini dilakukan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan sejumlah wang untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam.

Namun, pada hari sama Tee Yong turut menyatakan bahawa Selangor menggunakan lebih RM260 juta untuk menyelamatkan syarikat itu melalui proses perakaunan rumit.

Beliau mendakwa, Pakatan Rakyat tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung usaha memungut hutang melibatkan Talam sebelum ini.

Tiada ulasan: