Ahad, 1 Julai 2012

Dr Halimah: Tuisyen Rakyat 1Malaysia Tidak Tepati Sasaran





SHAH ALAM: Program interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penduduk Selangor gagal menepati sasaran.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, program tersebut seakan meniru inisiatif Pakatan Rakyat Selangor yang memperkenalkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang telah berjalan dari 2009.

Tindakan Kerajaan Pusat Umno-BN jelas menunjukkan program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri mendapat sambutan positif oleh rakyat Selangor.

“Mengapa PM pilih Selangor? Sedangkan beliau mengetahui Kerajaan Negeri dah lama ada Program Tuisyen Rakyat Selangor untuk pelajar negeri ini.

“Sepatutnya PM boleh salurkan kepada negeri-negeri lain terutama negeri yang memiliki paras kemiskinan yang tinggi yang belum ada program seumpama ini,” Dr Halimah berkata.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) di Shah Alam Convention Centre di sini hari ini.

Di bawah PTRS, pelajar daripada keluarga miskin yang prestasi akademiknya sederhana diberi peluang menghadiri kelas tambahan yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Setakat ini PTRS telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar Selangor.

Dr Halimah berkata tindakan kerajaan pusat yang hanya menyalurkan program itu ke Selangor menggambarkan niat sebenar BN yang tidak ikhlas, iaitu untuk merampas Selangor kembali dalam pilihanraya umum.

Tiada ulasan: