Oleh Sidiqin Omar
SHAH ALAM : Lebih 100 peserta berhimpun di hadapan Wisma
Rozali dekat sini bagi menyatakan sokongan kepada langkah kerajaan
Selangor untuk mengambil alih pegangan konsesi Syarikat Bekalan Air
Selangor (Syabas).
Antara
yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi
Shafiei; Timbalan Pengerusi KEADILAN (AMK) Selangor yang juga Ahli
Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad dan Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Selangor, Azmizam Zaman
Huri.
Turut serta, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan
Wanita Pusat, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau dikenali Dayangku
Intan.
Himpunan bermula jam 12.00 tengah hari dan mereka berarak kira-kira
100 meter dari pintu masuk pasaraya Giant menuju pintu hadapan Wisma
Rozali.
Peserta turut melaungkan slogan ‘Kembalikan air kepada rakyat’,
‘Hentikan catuan air’, ‘Pecat Tan Sri Rozali dan ‘Syabas jadi alat Umno.
Selain itu, kain pemidang tertera kenyataan ‘Kerajaan Selangor segera
ambil alih Syabas’, ‘Syabas peras ugut rakyat Selangor’, ‘RM8.65 bilion
terlalu mahal’ dan ‘Rakyat Selangor hilang air percuma’ turut
dinaikkan.
Selepas berunding selama 15 minit, memorandum mengandungi tujuh
tuntutan yang didraf AMK Selangor berjaya diserah kepada Ismail Hashim,
Pengarah Eksekutif & Pentadbiran Sumber Manusia Syabas.
Antara tuntuan tersebut adalah membantah catuan bekalan air di
Selangor oleh Syabas dan menyerahkan operasi air terawat kepada kerajaan
negeri.
Memorandum turut membantah pembinaan Loji Langat 2 yang menelan belanja RM8.65 bilion.
Azmizam berkata, jika pentadbiran Syabas tidak mendengar suara mereka
dan Rozali masih tidak meletakkan jawatan, satu himpunan lebih besar
akan diadakan sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil
alih pemegang konsesi air tersebut.
Awal minggu lalu, Syabas mengumumkan Selangor kini berdepan krisis
bekalan air dan menyatakan hasrat untuk mencatu bekalan air di negeri
itu, jika kerajaan negeri menolak pembinaan Loji Langat 2 .
Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan Menteri Besar, Tan Sri
Khalid Ibrahim yang menegaskan bekalan air di Selangor masih mencukupi.
Khalid yang ragu dengan keputusan Syabas mengumumkan penstrukturan
semula bagi mengelakkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya
menanggung kenaikan tarif air sebanyak 50 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan