Selasa, 17 Julai 2012

Dari Johor : Pacak Bendera Bulan, Angkara Protes

JASIN DAILY


Pontian - Kubu kuat UMNO-Barisan Nasional di salah satu kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut ini sekali lagi dikejutkan dengan penemuan beberapa batang bendera ‘bulan’ yang di pacak di pintu masuk Kampung Parit Selangor, dekat sini, hujung bulan lepas. 

Menurut sumber, perbuatan itu sengaja dilakukan oleh pihak tertentu bagi memberi kejutan kepada UMNO cawangan yang didakwa tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi berhubung beberapa kemudahan prasarana di kampung terbabit. 

Sehubungan itu, sebagai tanda protes kepada kegagalan mewujudkan suasana kampung yang kondusif dipercayai tindakan itu dilakukan bagi menarik ‘perhatian’ pemimpin tempatan agar prihatin kepada tuntutan mereka.

Difahamkan, YB Ahmad Maslan, ahli Parlimen Pontian telah melalui kampung tersebut bagi merasmikan pembinaan Gelanggang Futsal 1Malaysia di Kampung Puteri Menangis yang jaraknya kira-kira 1 kilometer dari kampung tersebut. 

Bagaimanapun, sehari selepas ia di pacak, tinjauan dilakukan mendapati, bendera itu sudahpun dicabut dipercayai ada pihak yang ‘terasa’ dan kurang selesa dengan perkembangan yang mengejutkan itu. 

Fenomena seperti ini berlaku di beberapa lokasi lain di dalam kawasan DUN Benut petanda keaiban UMNO telah terbongkar dan diselongkar dari kalangan mereka sendiri.

Tiada ulasan: