Sabtu, 7 Julai 2012

Cuepacs: 'Hapus kerenah birokrasi jika mahu buang rasuah'

NURUL AINI MOHAMED ALI

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda bersetuju dengan pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sambil menegaskan, kerenah birokrasi khususnya peranan pihak ketiga perlu dikurangkan jika mahu menghapuskan budaya rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Dalam perkhidmatan awam, perkara yang perlu dikurangkan bagi menjamin sesuatu perkara itu mampu diselesaikan dengan segera ialah dari segi kerenah birokrasi," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Kelmarin, Dr Mahathir berkata, kelewatan dalam melaksanakan sesuatu perkhidmatan oleh kerajaan boleh menyebabkan berlaku rasuah.

Justeru kata beliau, semua jabatan kerajaan harus menetapkan jangka waktu bagi pegawainya menyiapkan sesuatu tugas, kerana tempoh masa yang diambil akan menentukan sama ada tugas itu dilaksana dengan baik atau tidak.

"Jangan ada kelewatan. Saya takut kelewatan akan menyebabkan rasuah. Jika suatu perkara boleh dilaksana dalam satu hari, pastikan perkara itu siap dalam sehari. Jika tidak, panggil pegawai itu dan tanya mengapa dia tidak boleh lakukan dalam sehari," katanya.

Sehubungan itu menurut Azih, kerenah birokrasi seharusnya dikurangkan atau dihapuskan sebaik-baiknya bagi memastikan para pelanggan yang berurusan dengan pihak kerajaan boleh berhubung secara terus tanpa menggunakan orang tengah.

"Apabila wujudnya pihak ketiga jika pelanggan berurusan, kebarangkalian terjadi atau berlakunya rasuah di antara pelanggan dan kakitangan perkhidmatan awam adalah tinggi.

"Jika boleh kita hendaklah elakkan campur tangan (peranan) orang ketiga bagi mengelakkan rasuah berlaku," ujarnya.

Beliau turut menambah, perkara ini juga menyebabkan wujudnya persepsi negatif di kalangan orang ramai terhadap kakitangan awam.

"Segala jenis urusan di kaunter seharusnya tidak melibatkan pihak lain dan seharusnya orang ramai dibenarkan berurusan secara terus apabila menguruskan atau terlibat dengan sebarang urusan dengan pihak kerajaan," tambah beliau.

Segala jenis proses dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh jabatan kerajaan seharusnya telus tanpa ada sebarang penglibatan pihak lain bagi menjamin terjadinya amalan rasuah.

Tiada ulasan: