Rabu, 11 Julai 2012

'Buang masa layan Hasan Ali' , kata Pemuda PAS S'gor

MALAYSIA KINI
 
 
 
Dewan Pemuda PAS Selangor amat bersetuju dengan keputusan badan perhubungan PAS negeri itu untuk tidak melayan penganjuran debat politik dengan Datuk Hasan Ali yang cuba dianjurkan oleh Gerakan Masyarakat Prihatin Meru di Meru, Klang.

Ia mendakwa Hasan orang yang terdesak untuk mendapat keuntungan politik murahan di dalam isu penganjuran debat politik tersebut.

"Hasan Ali semata-mata hanya ingin mengambil kesempatan di atas penganjuran debat untuk terus melempiaskan dendam peribadi beliau terhadap kepimpinan PAS Selangor disebabkan beliau tidak lagi terpilih sebagai orang nombor satu PAS Negeri Selangor," .kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasbullah berkata Hassan tidak mempunyai kelayakan untuk membicarakan tentang halatuju PAS bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 setelah beliau dipecat daripada parti itu.

"Dewan Pemuda PAS Selangor menganggap tawaran untuk berdebat dengan Hassan Ali sebagai membuang masa dan tidak memberi faedah untuk keuntungan rakyat Selangor," katanya lagi.

 Hasbullah berkata, Hassan tidak perlu mengajar PAS Selangor untuk menjelaskan misi dan visi PAS Selangor untuk mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Katanya, ini kerana PAS Selangor sentiasa istiqamah dalam setiap kerja buat yang dilaksanakan berlandaskan prinsip Islam yang syumul yang merangkumi segala perkara yang diperjuangkan oleh JATI  (Jalur Tiga pimpinan Hasan) selama ini.

"Dan PAS Selangor juga terbuka untuk berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat di dalam perkara-perkara yang tidak menyentuh aqidah perjuangan PAS," tambahnya.

 Selain itu, tambahnya, Dewan Pemuda PAS Selangor merasakan Hassan sedang berusaha untuk menggunakan pentas debat ini bagi ‘melobi’ pimpinan Umno dan BN Selangor supaya dapat ‘menyelitkan‘ beliau sebagai salah seorang calon pilihan raya BN di Selangor.

"Dewan Pemuda PAS Selangor sangat mengalu-alukan sekiranya perkara tersebut berlaku dan ianya akan mempercepatkan lagi kerosakan dan kejatuhan Umno dan BN Selangor dalam pilihanraya umum ke 13 nanti.

"Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Selangor menasihatkan Hassan Ali supaya tidak lagi membiarkan diri beliau dikuasai oleh nafsu amarah disebabkan demdam peribadi yang tidak sudah.

"Beliau perlu sedar bahawa rakyat Selangor telah semakin meluat dengan tindakan dan ucapan beliau yang sanggup menjadi budak suruhan Umno untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

"InsyaAllah rakyat negeri Selangor akan menghukum Umno dan BN Selangor sekali lagi di dalam pilihan raya umum ke 13 nanti beserta dang ‘penjilat-penjilat’ mereka sekali," tegas Hasbullah.

Tiada ulasan: