Isnin, 2 Julai 2012

BERSIH: Lantik pemerhati p'raya hanya langkah pura-pura

MALAYSIA KINI
 
 
 
Kumpulan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH menyifatkan pelantikan lima NGO sebagai pemerhati dalam pilihan raya ke-13 sebagai tindakan berpura-pura oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Satu kenyataan oleh BERSIH hari ini menyebut demikian dengan membangkitkan kriteria pemilihan dan sekatan yang dikenakan ke atas NGO terbabit.

"BERSIH menuntut supaya pemerhatian pilihan raya dibuat sebagai hak mengikut undang-undang supaya semua pihak yang berkepentingan boleh memohon untuk mendapatkan tauliah berdasarkan kriteria objektif.

"Pemerhati pilihan raya harus mendapat kebebasan yang luas untuk menjalankan tugas mereka," kenyataan tersebut dipetik.

Malah, badan pemerhati pilihan raya Malaysian Election Observers' Network (MEO-Net) yang mendedahkan tindakan membeli undi ketika pilihan raya Sarawak juga dikecualikan daripada senarai pemerhati SPR, menurut BERSIH.

Selain, itu, gabungan NGO itu turut mempertikaikan sekatan yang dikenakan SPR ke atas pemerhati yang disenaraikannya, termasuk:

a) Sekatan daripada memerhati proses mengira undi

b) Sekatan daripada merakam foto kejadian penipuan, tanpa kebenaran pegawai berkenaan

c) Sekatan daripada bercakap dengan ejen parti dan kakitangan pusat mengundi

d) Sekatan daripada bercakap kepada media

e) Pemerhati perlu berada di pusat mengundi sama sepanjang hari pengundian

f) Sekatan daripada mengeluarkan maklumat kepada pihak ketiga sebelum melaporkan kepada SPR

Tiada ulasan: