Rabu, 18 Julai 2012

Bersih 3.0: Kes MBMB saman Ketua Wanita MCA Melaka 15 Ogos

SINAR HARIAN

MELAKA - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 15 Ogos depan bagi sebutan semula kes saman Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terhadap Ketua Wanita MCA Melaka Datuk Kian Sit Har.

Kian didakwa terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Pahlawan Megamall di sini pada 28 April lepas sehingga menyebabkan pihak berkuasa tempatan itu mengalami kerugian.

Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu selepas Kian yang hadir di mahkamah memohon untuk melantik peguam dan mengemukakan pernyataan pembelaan.

Mahkamah juga diberitahu oleh MBMB yang diwakili Tetuan Muhammad Jailani & Partners bahawa mereka masih gagal menyerahkan saman terhadap lima lagi individu iaitu Khoo Poay Tiong; Philip Chua; Yuhaizad Abdullah; Halim Bachik dan Abd Ghani Abd Rahman yang turut dinamakan sebagai defendan.

Pada 4 Mei lepas, MBMB yang memfailkan saman dengan menamakan Kian sebagai defendan keenam mendakwa kesemua mereka adalah penganjur atau peserta atau penyokong atau pemberi arahan atau pencetus rasa marah serta orang yang bertanggungjawab dalam penganjuran perhimpunan tidak sah itu sehingga menyebabkan plaintif mengalami kerugian apabila harta benda awam dirosakkan.

Dalam pernyataan tuntutan itu juga, MBMB mendakwa para peserta dan penyokong perhimpunan itu telah memasuki dan berkumpul di hadapan pintu masuk dataran berkenaan dengan niat mencetuskan kekacauan serta mengganggu ketenteraman awam.

MBMB turut mendakwa larangan dan arahan yang dikeluarkan penguatkuasanya bagi menyuraikan para penyokong atau peserta perhimpunan di dalam kawalan defendan-defendan tidak diendah sehingga menyebabkan lapan anggota penguatkuasa cedera apabila besi penghadang yang disusun, diasak dan ditolak penyokong perhimpunan itu. 

Justeru, MBMB memohon ganti rugi teladan, am dan khas, kos dan lain-lain relif yang dianggap adil dan berpatutan oleh mahkamah. - Bernama

Tiada ulasan: