Selasa, 17 Julai 2012

Beri Permit Suara Keadilan, Hapus Akta Rahsia Rasmi Baru Boleh Dakwa Media Bebas





SHAH ALAM  : Beri permit kepada Suara Keadilan dan hapuskan Akta Rahsia Rasmi terlebih dahulu sebelum kerajaan pemerintah mendakwa mereka mengamalkan kebebasan media di negara ini.

Kenyataan tersebut dilontarkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kebebasan media di negara ini.

“Jika kerajaan mengaku mereka mengamalkan kebebasan media, mengapa sehingga kini Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih wujud.

“Sekali lagi Pakatan Rakyat menerajui pembaharuan seperti ini, pada Mei 2011 Dewan Negeri Selangor (DNS) mencatat sejarah apabila menjadi dewan perwakilan pertama yang meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat, ini baru benar sekiranya pemerintah serius dalam membebaskan media,”ujarnya.

Menerusi sebuah laporan media, Muhyiddin mengatakan dakwaan bahawa kerajaan menyekat kebebasan media sebagai suatu yang tidak berasas.

Berucap dalam acara Anugerah Kewartawanan Institut Kewartawanan Malaysia baru-baru ini, Muhyiddin berkata, kerajaan telah berikrar untuk sentiasa mewujudkan suasana kondusif bagi membolehkan wartawan dan media terus memainkan peranan dalam proses demokrasi.

Mengulas lanjut perkara sama, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata adalah tidak wajar bagi seorang Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan seumpama ini yang akhirnya akan memperlihatkan kedangkalan dirinya sendiri.

“Ia jelas menunjukkan bertapa cetek dan rendahnya tahap pemikiran seorang Timbalan Perdana Menteri, permit akhbar masih ada yang dibekukan, ada pula pengeluaran akhbar yang dihadkan hanya kepada ahlinya sahaja tetapi masih angkuh mendakwa mereka mengamalkan media bebas,”jelasnya ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata laporan media berat sebelah bukan sahaja mengecewakan Pakatan Rakyat malah turut dikongsi dengan sebilangan besar rakyat yang ingin memperoleh maklumat yang sahih dan telus seperti negara demokrasi yang lain.

“Bagaimana beliau (Muhyidin) katakan kerajaan pemerintah yang ada hari ini tidak menyekat kebebasan media sedangkan hari ini kecenderungan yang menebal dikalangan media milik kerajaan dan pro-Kerajaan menabur fitnah, adakah ini kebebasan media yang dimaksudkan beliau.

“Program bual bicara yang menghentam dan memfitnah Pakatan Rakyat disampaikan terus kepada rakyat secara siaran langsung, tetapi program-program yang mampu membuka pemikiran rakyat tidak pula disiarkan,”ujarnya.

Tiada ulasan: