Ahad, 8 Julai 2012

Bekas SU Dun ketika krisis Perak 2009 sertai Pas?

Wartawan Sinar Harian

Abdullah Antong Sabri
Abdullah Antong Sabri
 
 
SHAH ALAM - Abdullah Antong Sabri, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak semasa pemerintahan Kerajaan Negeri berpindah tangan awal 2009 - daripada Pakatan Rakyat (PR) kepada Barisan Nasional (BN) -  muncul pada majlis anjuran Pas di sini, semalam.

Beliau dilaporkan akan menyertai Pas dalam waktu terdekat.

Laporan Harakah Daily menyebut Abdullah hadir program Hi-tea bersama Ikon Ahli Baru Pas yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan Pas Perak.

Laporan itu juga berkata kehadirannya memeranjatkan hadirin terutama wakil rakyat-wakil rakyat Pas yang menghadiri program tersebut.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin turut melahirkan rasa kegembiraan dengan kehadirannya.

Menurut laporan itu, tetamu istimewa program tersebut ialah Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu.

Hadir sama ialah bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Adnan Ibrahim dan bekas Ketua Polis Daerah Slim River, Abdullah Omar.

Pelakon yang terkenal dengan watak Lefternan Adnan, Hairie Othman bersama Leman Raja Lawak turut memeriahkan majlis.

Abdullah Antong yang berucap pada majlis itu berkata, kehadirannya pada program tersebut adalah untuk menzahirkan sokongannya terhadap Pas dan PR.

Menurutnya, PR sangat berbeza dan jauh lebih baik daripada BN yang semakin tidak releven.

“Ia telah dibuktikan di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat yang sempat memerintah selama 11 bulan. Saya masih merasakan roh pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak,” ujarnya.

Abdullah Antong menjelaskan, rakyat Perak sepatutnya dapat merasai kenikmatan dan kelebihan pemerintahan PR, namun ia tidak menjadi kenyataan apabila Kerajaan Negeri PR tumbang.

Katanya, beliau telah ditukarkan jawatan menjadi Ketua Penolong Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak selepas tidak ‘mesra’ BN sebelum mengambil keputusan bersara pada usia 56 tahun.

Nama beliau menjadi  sebutan orang ramai ketika berlakunya krisis Dun Perak apabila rakyat dan Adun PR mempertikaikan beberapa tindakan beliau seperti memanggil sidang Dun tanpa pengetahuan Speaker ketika itu, V Sivakumar.

“Saya menjalankan tugas dan mendapat arahan, saya terpaksa lakukan semua itu,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkemungkinan akan menyerahkan borang permohonan borang keahlian Pas tidak lama lagi.

Tiada ulasan: