Ahad, 29 Julai 2012

Bantah kewujudan pusat judi

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR

Mazlan (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Jamaludin (kiri).
Mazlan (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Jamaludin (kiri).
 
 
MUADZAM SHAH - Kira-kira 200 penduduk di sini termasuk dari Rompin dan Keratong mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat, kelmarin, untuk mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah.

Perhimpunan dianjurkan Pas, PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Al-Fateh dan Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teratai itu diadakan di pekarangan Masjid Muadzam Shah.

Laungan takbir ‘Allahuakbar’, ‘hidup-hidup Islam, hapus-hapus judi’ serta ucapan pemimpin politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bergema lebih kurang 40 minit.

Penduduk yang turut kesal dengan kewujudan pusat judi haram di sini bukan saja melaungkan takbir beramai-ramai, malah turut menzahirkan kemarahan dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda bantahan.

Meskipun cuaca panas terik di samping bantahan diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) menuju ke Pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Memorandum itu diserahkan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin, Mazlan Mohd Yasin kepada Pengurus Cawangan MDR Muadzam Shah Jamaluddin Wahid di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada jam 3.30 petang.

Sebaik saja memorandum itu diserahkan, semua pengikut perhimpunan tersebut didapati menaiki kenderaan masing-masing menuju Balai Polis Muadzam Shah untuk menyerahkan memorandum sama.

Mereka tiba pada jam 4 petang di mana memorandum setebal tiga muka surat itu diserahkan Penasihat Undang-Undang Pas Negeri Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly kepada Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Inspektor Ab Rahman Abdul Jalil.

Kira-kira jam 4.30 petang, mereka menuju pula ke Pejabat Agama Islam Muadzam Shah untuk menghantar memorandum supaya penguat kuasa agama terbabit dapat bersama-sama pihak berkuasa mencegah aktiviti judi membabitkan umat Islam.

Memorandum itu diserahkan sendiri Mohd Fadzli kepada Pegawai Agama Islam Muadzam Shah, Mohd Rizal Mohd Ali Napiah.

Perhimpunan dan penyerahan memorandum itu hanya berakhir kira-kira jam 5 petang dan mereka mula beransur pulang selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali di pekarangan Pejabat Agama Islam Muadzam Shah.

Pandang serius lima tuntutan

Mohd Fadzli berkata, pihaknya difahamkan, premis judi siber di kawasan terbabit beroperasi sejak awal tahun ini, namun kesal kerana kegiatan itu masih berterusan walaupun tindakan dibuat.

Menurutnya, perhimpunan itu juga bertujuan menzahirkan kebimbangan penduduk berikutan difahamkan sebanyak 98 peratus pengunjung pusat judi tersebut terdiri daripada masyarakat Islam.

Katanya, terdapat lima tuntutan terkandung dalam memorandum itu yang perlu dipandang serius pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan tersebut habis-habisan.

“Kita minta premis itu ditutup serta-merta, tidak meluluskan sebarang permohonan baru lesen perniagaan berunsur perjudian, menjalankan pemantauan lebih tegas serta tidak memilih bulu dalam mencegah jenayah judi.

“Selain itu, kita juga meminta pihak berkuasa turut melibatkan semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana pertubuhan untuk memerangi kegiatan tersebut sekali gus membersihkan Rompin daripada sebarang kegiatan perjudian serta maksiat,” katanya.

Punca institusi keluarga runtuh

Mazlan berkata, isu terbabit seharusnya dipandang serius semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana ia ditegah dalam Islam.

“Jika kami tidak mengambil sebarang tindakan hari ini (kelmarin), percambahan pusat judi haram dikhuatiri berterusan sekali gus boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Menurutnya, bantahan dan penyerahan memorandum itu dibuat dengan harapan pihak berkuasa serta kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah itu demi kesejahteraan rakyat.

“Masyarakat kita akan berpecah-belah kerana judi. Kegiatan rompakan, perceraian dan penipuan akan berleluasa. Justeru pihak berkuasa serta kerajaan tidak harus memandang remeh mengenai perkara ini,” katanya.

Hanya tiga masih aktif

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, sebuah premis perjudian di kawasan terbabit sudah ditutup sejak lebih dua atau tiga minggu lalu dan kini hanya tiga pusat judi masih aktif.

Menurut sumber dalaman MDR, PBT itu sudah beberapa kali menjalankan tindakan penguatkuasaan dan memberi amaran kepada pusat judi terbabit supaya tidak meneruskan kegiatan tersebut.

Bagaimanapun, pemilik pusat judi terbabit masih ingkar dan tetap menjalankan perniagaan mereka dengan berselindung di bangunan baru di kawasan itu.

“Kami tidak pernah meluluskan lesen judi kepada mana-mana pemilik premis di Muadzam Shah termasuk Rompin. Mereka (pemilik premis perjudian) dipercayai menyewa bangunan untuk menjalankan kegiatan haram tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: