GOMBAK : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyelar tindakan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang cuba mengaitkannya dengan penyebaran video Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.
Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai palsu dan tidak bertanggungjawab, Azmin juga tidak menolak andaian bahawa ia sengaja direka untuk menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai pemimpin.
Beliau turut mencabar pihak berkenaan untuk tampil mengemukakan bukti dan hujah sekiranya benar seperti yang didakwa.
“Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya sejak kebelakangan ini, malah semua masalah di Malaysia dibebankan ke atas saya.
“Baiklah, kalau itu tuduhan Raja Petra Kamaruddin (RPK), saya minta dia baliklah ke sini. Jangan jadi bacul.
“Kalau benar-benar nak berjuang, pulanglah ke tanah air. Jangan menyalak di luar negara, tetapi kemukakan bukti. Mari bertarung di dalam negara,” tegas Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.
RPK sebelum ini membuat spekulasi bahawa kamera tersembunyi dipasang oleh musuh Abdul Khalid untuk merakamkannya dalam keadaan yang mencurigakan di dalam pejabat.
Penulis blog itu mendakwa, pihak yang rapat dengan Azmin memiliki pelbagai rakaman video yang boleh menjatuhkan Menteri Besar Selangor itu.
Azmin turut menyelar taktik kotor Umno-BN yang seringkali menggunakan penyebaran video sebagai senjata untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat.
Ini kerana menurutnya, Umno-BN semakin hilang kredibiliti untuk memikat hati rakyat, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Azmin dengan tegas turut memaklumkan tidak akan melayan segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya, sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menguatkan jentera parti dalam PRU-13 nanti.
“Saya tidak akan berdebat atau melayan tuduhan tidak berasas oleh RPK ini kerana dia bukan sesiapa.
“Inilah cara Umno-BN untuk menjatuhkan Pakatan kerana mereka sedar rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan mereka.
“Bagi saya, Datuk Seri Najib Razak perlu bertanggungjawab kerana beliau memiliki pentadbiran yang paling jijik dan paling kotor,” selarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan