Ahad, 15 Julai 2012

Azmin: PKR Selangor sedia terima Wan Azizah tanding

NURKHAIRINI JUMARI

azmin
 
 
SHAH ALAM – PKR Selangor sedia menerima Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri itu jika mendapat cadangan akar umbi dan dipersetujui kepimpinan parti.

Pengerusinya, Azmin Ali berkata, buat masa ini belum ada perbincangan Pakatan Rakyat di peringkat pusat mahupun negeri mengenai hasrat Dr Wan
Azizah bertanding di mana-mana kerusi Dun.

“Cadangan (meletakkan Wan Azizah bertanding kerusi Dun Selangor) boleh diketengahkan. Itu perlu bincang secara terbuka dan jujur dalam parti.

“Kalau ada cadangan daripada akar umbi di Selangor, ia boleh diusulkan di peringkat pusat. Ini kerana di Selangor pemilihan calon bertanding pilihan raya dilakukan secara kolektif dan mengambil kira pandangan anggota parti,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Bagaimanapun menurutnya, sebelum membuat tawaran lokasi seseorang ahli bertanding pada pilihan raya umum akan datang ini, faktor sama ada ahli itu akan beri kesan berganda yang positif kepada parti atau sebaliknya perlu diberi penekanan utama.

Awal minggu lalu. Dr Wan Azizah dilaporkan berkata beliau bersedia dan sedang mempertimbangkan dengan ‘serius’, mengambil kira
pelbagai aspek bertanding kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pada pilihan raya umum lalu dan ketika pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh 2008, Wan Azizah mengundi di SK Sri Penanti yang terletak di kerusi Dun Permatang Pasir.

Dr Wan Azizah yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen empat tahun lalu, layak bertanding kerusi Dun dalam PRU13.

Bagaimanapun, isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini enggan mengulas di kawasan dan negeri mana beliau akan bertanding.

Azmin berkata, selaku Pengarah Pilihan Raya PKR, beliau bertanggungjawab membawa pandangan dan maklum balas dari akar umbi mengenai Azmin calon pilihan raya.

Tiada ulasan: