Khamis, 19 Julai 2012

Anwar nafi halalkan homoseksual semasa ditemu bual BBC

SINAR HARIAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pernyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menafikan kenyataan beliau dalam temu bual dengan BBC mengenai undang-undang berkaitan homoseksual yang disiarkan pada 12 Jan lepas, membawa maksud beliau akan menghalalkan kegiatan homoseksual.

Ketua Pembangkang itu berkata beliau tidak sama sekali ada menyatakan mengenai perkara itu kepada BBC.

Mengenai maksud kenyataannya"....we should not be seen as punitive and consider the archaic laws a relevant. We need to review them. We do not promote homosexuality in public sphere and domain', Anwar berkata: "Itu bermaksud bahawa daripada perspektif Islam, kegiatan maksiat seperti homoseksual, seks bebas, minum arak, berjudi, dan lain-lain lagi adalah sesuatu yang dilarang secara jelas di dalam Al-Quran dan Hadith".

Anwar mengemukakan dan membacakan pernyataannya itu pada perbicaraan kes samannya terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung artikel mengenai komen beliau bersama BBC mengenai undang-undang berkaitan homoseksual.

Anwar yang merupakan plaintif dalam kes saman itu berkata sama ada ia dilakukan di khalayak awam atau di tempat tertutup, hukumnya tidak berubah.

"Apa yang saya sentuh di dalam temu bual saya bersama BBC adalah ruang lingkup tanggungjawab kerajaan selaku penguatkuasa undang-undang menurut perspektif Islam dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap kesalahan atau maksiat peribadi yang dilakukan individu di tempat awam," katanya.

Pada 20 Januari lepas Anwar memfailkan saman fitnah itu bagi menuntut ganti rugi RM50 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta relif-relif lain yang disifatkan sesuai dan patut diberikan oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutannya, Anwar mendakwa defendan telah menerbitkan dua artikel di muka hadapan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Januari tahun ini berhubung temubualnya bersama BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Semasa diperiksa balas oleh peguam Datuk Firoz Hussein Jamaluddin yang mewakili defendan, Anwar tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kenyataannya dengan BBC bermaksud undang-undang berkaitan homoseksual patut disemak semula, supaya ia tidak lagi bersifat punitif.

Kepada soalan lain peguam itu, bahawa berdasarkan kenyataannya itu ia membawa maksud negara tidak sepatutnya mendakwa mereka yang melakukan aktiviti homoseksual secara tertutup, Anwar menjawab:"Tidak, itu tidak benar".

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk V.T.Singham bersambung 13 Ogos. - Bernama

Tiada ulasan: