Khamis, 12 Julai 2012

Anugerah PM tiada nilai selagi kebebasan kartunis disekat – Zunar

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Kartunis politik tanah air, Zunar atau nama sebenarnya Zulkefli Anuar Ulhaq menolak anugerah dan trofi bernilai RM10,000 daripada Perdana Menteri berdasarkan beberapa prinsip.

“Bagaimana mungkin saya menerima anugerah dari Perdana Menteri sedangkan di bawah pemerintahan beliau hak dan kebebasan saya sebagai kartunis dinafikan,” katanya mengulas kenyataan beberapa rakan kartunis yang mengkritik beliau kerana menolak anugerah itu.

Semalam, Sinar Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk “Kartunis Zunar didakwa Keliru” serta “Kartun bukan Platform Kutuk Pemimpin”.

Dalam laporan tersebut, kartunis-kartunis tempatan mengkritik Zunar, antara lain kerana menolak anugerah yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri serta pendirian politik dalam karya beliau.

Menurut zunar, sejak mula berkarya, beliau tidak pernah berhasrat untuk mengkritik karya atau pendirian sesama kartunis kerana itu bagi beliau tidak wajar.

“…Namun kerana ia dibangkitkan, saya perlu memberi penjelasan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 20 Jun lalu, Kelab Putra Malaysia bersama beberapa pertubuhan menganjurkan program “Anda, PM & Kartunis” di Pasar Seni.

Beberapa kartunis tempatan, termasuk Zunar ditawarkan anugerah berupa trofi dan wang tunai RM10,000. Anugerah ini bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Memang saya menolak anugerah ini, tetapi saya tidak keliru malah penolakan ini atas soal prinsip berdasarkan fakta-fakta,” jelas Zunar.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke lokap beberapa jam sebelum pelancaran buku “Cartoon-O-Phobia”.

Beliau disiasat dibawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabit kesalahan.

Pejabat beliau di Brickfields telah dua kali diserbu, manakala lebih 500 bukunya dirampas ketika serbuan.

Selain itu, enam buah buku kartun beliau diharamkan sejak 2009, iaitu Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun edisi 1, 2 dan 3 serta 1Funny Malaysia.

“Tidak cukup dengan itu, kilang-kilang pencetak yang mencetak buku saya diugut penarikan lesen, begitu juga kedai-kedai yang menjual buku saya di seluruh Malaysia,” jelas Zunar lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengembalikan hak-haknya sebagai kartunis.

“Tanpa mengembalikan hak-hak saya, anugerah dan wang tunai tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai, malah tidak keterlaluan kalau saya anggap itu sebagai ‘gula-gula pelembut sahaja,” katanya.

Zunar juga didakwa berat sebelah dan sepatutnya berkecuali dalam berkarya.

“Ingin saya jelaskan pendirian bahawa apabila kezaliman berlaku, kita wajar memihak dan membela pihak yang dizalimi. Berkecuali bererti menyokong pihak yang zalim.

“Ingin saya jelaskan juga, konflik yang berlaku bukan soal pertembungan politik antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, tetapi jauh lebih besar iaitu antara rakyat menentang pemerintah yang zalim.
Dalam konteks saya, kartunis menentang pemerintah zalim,” katanya.

Zunar pada tahun lepas mendapat anugerah “Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011″ oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.

Malah, beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Tiada ulasan: