Khamis, 26 Julai 2012

AMK Selangor Akan Anjur Roadshow Perjelas Isu Syabas






KLANG  : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor sedang merancang untuk mengadakan ‘roadshow’ atau siri jelajah ke seluruh negeri bagi memberi penjelasan berhubung isu air kepada rakyat.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata siri jelajah itu akan diadakan sekiranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak memberi sebarang maklum balas berhubung memorandum yang dihantar baru-baru ini.

Katanya, AMK akan menerangkan fakta sebenar mengenai krisis air yang sengaja ditimbulkan oleh Syabas.

“Ini kerana kita melihat Syabas sengaja mengelirukan rakyat dan isu air ini sudah menjadi bahan politik mereka dan Umno-BN.

“Dalam jelajah itu juga kita akan mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail untuk letak jawatan. Buat masa ini kita masih menunggu maklum balas dari Syabas,” katanya dalam sidang media di Taman Sri Andalas.

Azmizam menambah, AMK turut menimbang perancangan untuk mengadakan bantahan secara besar-besaran sekiranya memorandum itu tidak diberi perhatian oleh Syabas.

Selain itu, beliau turut meminta Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) dan Syabas menamakan 54 badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan membantah tindakan Kerajaan Negeri Selangor menolak Projek Langat 2.

“Kita pasti 54 NGO tidak wujud kerana pada sesi taklimat mengenai isu air di pejabat Syabas semalam membuktikan kehadiran mereka tidak seramai yang diutarakan oleh GPRS,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 100 orang penyokong Kerajaan Negeri Selangor berhimpun di hadapan pejabat Syabas di Wisma Rozali, bagi mendesak Syabas agar membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih (step In) pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tiada ulasan: