Sabtu, 14 Julai 2012

Air percuma: Umno Selangor akhirnya iktiraf kejayaan PR

NAJWAN HALIMI

SAYA merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang dilaporkan media semalam berhubung hasrat Barisan Nasional (BN)  untuk menyambung pemberian air percuma kepada rakyat Selangor sekiranya berjaya menawan kembali negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU).

Kenyataan beliau tersebut jelas mengiktiraf pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ditunjangi oleh PKR dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi dasar Merakyatkan Ekonomi Negeri.

Jika sebelum ini pimpinan Umno Selangor mengkritik keras dasar pemberian air percuma kepada rakyat dan menganggap tindakan tersebut akan memufliskan Kerajaan Negeri, ternyata mereka kini telah mulai menerima hakikat bahawa dasar tersebut sememangnya memberikan manfaat besar kepada rakyat.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mengalu-alukan kenyataan Noh Omar semalam yang mana secara tidak langsung menunjukkan bahawa Umno semakin cenderung meniru idea serta dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya dalam soal melibatkan kebajikan rakyat.

Justeru, AMK Selangor menyeru agar Noh Omar bersikap matang dan terbuka serta turut sama-sama membantu Kerajaan Negeri Selangor menyelesaikan isu-isu tertentu yang merumitkan kelancaran pelaksanaan dasar pemberian air percuma ini demi kebaikan rakyat Selangor seluruhnya.

Najwan Halimi,  
Ketua Penerangan AMK Selangor

Tiada ulasan: