Jumaat, 27 Julai 2012

Ahli perniagaan cedera ditetak penyamun, rugi RM52,000,

SINAR HARIAN

MELAKA - Seorang ahli perniagaan yang baru mengeluarkan wang berjumlah RM52,000 daripada sebuah bank Disamun empat lelaki di hadapan rumahnya di Cheng di sini Rabu lepas.

Mangsa yang berumur 24 tahun turut ditetak di kepala, tangan dan kaki dengan pisau pemotong sayur dalam kejadian 3 petang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mangsa dipercayai telah diekori lelaki terbabit yang menaiki dua buah motosikal sehingga ke rumahnya.

"Setibanya di rumah, mangsa terus diserang dan ditetak dua daripada lelaki berkenaan sebelum mereka melarikan wang yang disimpan di dalam beg pinggang mangsa dengan motosikal yang ditunggangi dua lagi lelaki," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata polis belum mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan.

Raja Shahrom berkata penjenayah dikesan mengambil kesempatan pada bulan Ramadan berikutan wujud ruang dan peluang untuk melakukan aktiviti jenayah selain faktor kelalaian mangsa.

Beliau berkata dalam tempoh tujuh hari berpuasa, sebanyak 22 kes melibatkan enam jenayah samun dan ragut serta masing-masing lapan kes pecah rumah dan pecah kenderaan dilaporkan di sekitar negeri itu.

Katanya kes terbaru melibatkan tiga kejadian pecah kenderaan di sebuah masjid di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis berjaya menemui pelbagai barangan termasuk wang kertas pelbagai negara, jam tangan, komputer riba dan telefon bimbit bernilai RM200,000 hasil kegiatan samun dan pecah rumah melibatkan satu kumpulan penjenayah.

Raja Shahrom berkata penemuan itu berikutan tertangkapnya enam lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 24 tahun antara 9 dan 11 Julai lepas.

Katanya kumpulan terbabit dipercayai terlibat dengan 31 kes samun dan pecah rumah sekitar Melaka serta kejadian ragut yang menyebabkan kematian seorang kerani wanita berusia 35 tahun di Jalan Benteng, Balai Panjang pada 7 Julai lepas. - Bernama

Tiada ulasan: