Ahad, 15 Julai 2012

6,000 Pokok Bakau Bagi Memelihara Persisiran Pantai Selangor





PELABUHAN KLANG : Sebanyak 6,000 pokok bakau ditanam dalam tempoh tiga tahun dalam usaha menghijaukan bumi dan memelihara alam sekitar.

Usaha tersebut adalah sebahagian dari rancangan menanam 10,000 pokok bakau dalam masa lima tahun bermula dari 2010 di sekitar Selangor.

Ia dilakukan Persatuan Bulan Sabit Merah Selangor bersama Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Pengerusi Bulan Sabit Merah Selangor, Fatimah Sulaiman berkata, pihaknya berbangga kerana program tersebut berjaya dijalankan dalam masa tiga tahun dan berharap ia mencapai sasaran dalam dua tahun lagi.

“Program pertama pada 2010 kita jalankan di Kuala Selangor dan tahun lalu di kawasan timur Kampung Teluk Gong ini manakala tahun ini kita sambung di kawasan barat di kampung sama.



“Program ini melibatkan semua ahli masyarakat terutama ahli Bulan Sabit Merah Selangor dan pelajar demi memberi pendidikan dan pengetahuan mengenai penanaman pokok bakau dan penjagaan alam sekitar.

“Ia juga membawa banyak manfaat terutama kepada kawasan persisiran pantai sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi bencana alam seperti tsunami,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) di atas sokongan mereka.

Fatimah berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Program Menanam Pokok Bakau di Kampung Teluk Gong di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan Yang Dipertua Pekawanis yang juga isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Salbiah berkata, usaha penanaman itu wajar dicontohi pertubuhan lain kerana program menghijaukan bumi dan menjaga alam sekitar perlu melibatkan semua pihak.

“Program ini juga membantu mendidik anak-anak dan pelajar supaya berdisiplin dan faham tentang peranan memelihara alam sekitar terutama di kawasan persisiran pantai. Malah bukan saja persisiran pantai tetapi juga kawasan lain.

“Selain bakau, kita juga perlu mengenal pasti pokok lain untuk ditanam kembali,” katanya.

Seorang guru, Nik Suhaimi Nik Jaafaar berkata, program seperti itu patut diperbanyakkan demi memberi kesedaran kepada masyarakat demi menjaga alam sekitar.

“Penanaman pokok bakau di kawasan persisiran pantai ini banyak manfaatnya kepada alam semulajadi dan penduduk tempatan,” katanya.

Tiada ulasan: