Dr.Afif Bahardin
Ramai sedia maklum, "Janji Ditepati" menjadi platform utama Perdana
Menteri, Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi melaungkan
retorik transformasi dan menjadi pentas untuk menyerang Pakatan Rakyat
terutama sekali apabila "Janji Ditepati" singgah di negeri - negeri yang
dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan
Selangor. Jika “Janji Ditepati" menjadi jenama jelajah politik Perdana
Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi apabila ia menjadi tema
sambutan Kemerdekaan negara yakni "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" -
itu masalah!
"Janji"
membawa maksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu;
manakala "Ditepati" bermaksud tidak memungkiri atau memenuhi janji yang
telah dilafaz. Jika "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" menjadi tema
sambutan Kemerdekaan negara, makanya kita harus merujuk kepada janji
yang mana? Adakah janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), atau janji
manifesto Cemerlang,Gemilang,Terbilang, atau janji Wawasan 2020? Janji
yang mana yang eksekutif hari ini maksudkan yang telah mereka penuhi
dan tepati?
Bagi berlaku adil baik untuk rakyat dan sang
pemerintah, wajar kita menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke
belakang iaitu tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul
Rahman melaungkan "Merdeka" selepas beliau membacakan satu pemasyhuran
keramat. Arakian pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam
sejarah tanahair. Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada
negara bangsa yang bebas dan merdeka. Maka tiada "janji-janji" lain
yang lebih layak untuk diangkat sebagai "Janji" melainkan teks keramat -
Pemasyhuran Kemerdekaan.
Ketika Pemasyhuran ini mula
diperkenalkan, seluruh rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat
ketika itu rata-rata menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut
sebagai sesuatu yang amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai
"sijil kelahiran" negara merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen
penting negara lain seperti "Sumpah Pemuda 1928" di Indonesia, pidato "Tryst with Destiny"
oleh Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang
dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir
tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis
paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat
idealismenya juga turut terhakis.
Apa yang disebut di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan,
"Dan
bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka,
ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan
sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman
dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja
yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."
- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957 -
Jelas
Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara
bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja
Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus
diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini
terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka,
pemerintah UMNO dan Barisan Nasional telah berjaya memenuhi atau
menjunjung prinsip asas yang termaktub ini?
Amalan
demokrasi yang matang dan baik haruslah mempunyai beberapa asas yang
penting seperti suruhanjaya pengendali yang bebas dari segala bentuk
tekanan politik, akses kepada media yang adil dan bebas, gelanggang
politik yang sama "luas" dan "rata" untuk semua pihak serta punya usaha
yang efektif dan berterusan untuk melibatkan seluruh rakyat di dalam
proses itu. Perbedaan pendapat atau pandangan politik juga diraikan di
dalam amalan demokrasi yang matang, dan lebih penting perdebatan mahupun
wacana serius dan berterusan adalah penting dalam menjelaskan kebijakan
atau apa jua agenda yang ingin dibawa oleh sesiapa dapat diketengahkan
kepada umum dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak.
Dalam
amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih
dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi,
membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi
itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk
melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang
apabila amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai
dengan penyelewengan dan penipuan yang melampau. Kegagalan Suruhanjaya
Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari
pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, "gelanggang" yang
tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta
kebebasan media yang disekat - sekat; menunjukkan bahawa kerajaan UMNO
dan Barisan Nasional yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal
untuk menepati "janji" yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan
yang dilafaz Tunku Abdul Rahman.
Bagaimana
pula dengan "janji" untuk menjunjung hak-hak asasi dan kebebasan
sekalian rakyat seperti yang termaktub di dalam Pemasyhuran dan juga
Perlembagaan negara? Saat artikel ini ditulis, mereka yang masih
ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting
masih lagi tidak dibebaskan, bahkan dihadapkan ke mahkamah untuk
dibicarakan pun masih tidak dibuat lagi. 55 tahun merdeka, kita
dihantui undang - undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam
Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa
akta dan juga Peraturan Polis. Perdana Menteri, Najib Razak menjuarai
transformasi, retorik pemansuhan akta seperti ISA, Akta Darurat dan juga
beberapa akta lain. Malangnya transformasi yang dijanjikan masih tidak
terlaksana dan sekadar indah khabar dari rupa.
Dengan kesedaran
ini, tatkala slogan sambutan Kemerdekaan tanah air kali ke-55 diumum
sebagai "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati", tiada kata-kata yang lebih
memualkan yang pernah lahir daripada UMNO dan Barisan Nasional, setakat
hari ini. Retorik politik sebegini rupa; mempergunakan sambutan
nasional negara, sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh
rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan "pujuk-rayu",
bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk
segenap rakyat membalas budi.
Tindakan UMNO dan Barisan
Nasional, mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum
Pilihan Raya Umum ke 13, sebagai alat kempen, adalah tindakan yang tidak
bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru UMNO dan
Barisan Nasional ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk
mendapatkan sokongan rakyat. Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi
kepada UMNO dan Barisan Nasional, maka, bagi mengenang jasa, rakyat
perlulah meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah UMNO dan
Barisan Nasional. Rakyat diminta untuk tidak merenung jauh dan terima
sahaja bahwa janji sudah dilaksana, oleh itu teruskan saja mengundi
mereka menjadi kerajaan.
Perdana Menteri hari ini masih
melaungkan Transformasi. Banyak wang dibelanjakan untuk Program
Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai bentuk laporan
dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. "Janji" asas yang terkandung di
dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal ditepati oleh
UMNO dan Barisan Nasional. Melihat retorik politik terbaru yang
dilaungkan Umno dan Barisan Nasional hari ini (baca:55 Tahun Merdeka,
Janji Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang
termampu dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kerajaan autokratik
ini sudah tiada kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai
apa yang kita panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka
rakyat terimalah seadanya. Mana-mana suara yang menentang atau tidak
senada dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.
Rakyat
harus jelas akan "janji" yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali
menoleh ke masa lampau - 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa
Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas "janji" yang sama. "Janji"
Yang dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman. "Janji" yang
diwar-warkan ke seluruh negara. "Janji" yang menjadi tiang seri
tertegaknya negara kita ini. "Janji" yang termaktub di dalam
Pemasyhuran Kemerdekaan. "Janji" yang telah dijamin Perlembagaan
Persekutuan. "Janji" yang mutakhir ini kelihatan jarang-jarang sekali
meniti di bibir, bukan hanya dikalangan rakyat terbawah, bahkan cuba
ditepis jauh-jauh oleh mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa dan
masa depan negara kita. Selagi "janji" ini tidak ditepati, jangalah
sesiapapun tanpa segan melaungkan bahawa tugas mereka sudah selesai.
"Janji" ini akan terus kita tuntut, kerana saya dan anda semua tahu, "janji" yang ini masih lagi belum terlaksana;
"....dengan
limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah
negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan
keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan
kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."
- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957 –
*Dr.Afif Bahardin ialah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan