Sabtu, 7 Julai 2012

3 Lagi Pelajar UNISEL Terima Pengiktirafan Kerajaan Selangor





GOMBAK : Sokongan ibubapa, berkat ilmu pensyarah dan kegigihan untuk ke peringkat sarjana, membolehkan tiga pelajar Universiti Selangor (UNISEL) cemerlang sehingga menerima anugerah Skim Biasiswa Internship Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Program Penerangan Geran Selangorku yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini semalam.

Tiga pelajar itu, Farahani Mohammed Zakaria, Nurul Nadiah Begum Sahabuddin Khan dan Azalea Ahmad Kushairi kesemuanya daripada jurusan pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) berjaya memperoleh GPA 3.8 ke atas.

Mereka menerima Cek berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Rosniza Mohammad Rasol, setakat ini lima pelajar UNISEL telah berjaya mendapat pengiktirafan Kerajaan Selangor kerana prestasi cemerlang sepanjang pengajian.

“Adalah diharapkan kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada pelajar UNISEL lain untuk bersaing secara sihat dalam mencapai kejayaan.

“Serta meletakkan nama UNISEL sebagai hub pendidikan unggul serta pilihan utama rakyat negara ini dan luar negara,” kata Rosniza dalam kenyataan medianya.
   
 Sementara itu Farahani bersyukur menerima anugarah ini dan menyifatkan kejayaannya atas usaha dan sokongan daripada semua pihak.

“Nasihat saya kepada pelajar UNISEL yang ingin berjaya supaya belajar dengan rajin dan serius,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nurul Nadiah Begum, yang mahu menyambung pelajaran di peringkat sarjana, para pelajar diingatkan supaya mendapatkan keberkatan daripada pensyarah jika mahu berjaya.

“Saya sangat gembira menerima anugerah ini kerana bukan senang untuk mendapat anugerah seperti ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: